1 Tawarikh 17:12-25 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang daripada keturunannya akan memerintah sebagai raja.

13. Aku akan menjadi Bapanya, dan dia akan menjadi anak-Ku. Aku akan tetap berbuat baik kepadanya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku kepadanya akan tetap Kupegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja.

14. Anak lelakimu yang Aku pilih itu akan Kujadikan raja umat-Ku dan atas kerajaan-Ku untuk selama-lamanya, dan anak cucunya turun-temurun akan memerintah sebagai raja.’ ”

15. Natan memberitahu Raja Daud segala yang dinyatakan Allah kepadanya.

16. Kemudian Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Raja Daud duduk lalu berdoa, “Ya TUHAN Allah, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang Engkau tunjukkan kepadaku selama ini.

17. Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu; Engkau telah membuat janji tentang keturunanku pada masa hadapan. Bahkan Engkau, ya TUHAN Allah, telah memperlakukan aku sebagai seorang pembesar.

18. Apa lagi yang dapat kukatakan kepada-Mu! Engkau mengetahui segala sesuatu tentang diri hamba-Mu ini, namun Engkau memberikan penghormatan kepadaku.

19. Oleh sebab kehendak-Mu dan rancangan-Mu, Engkau melakukan semua perbuatan besar ini bagiku, dan untuk menunjukkan kebesaranku pada masa akan datang, kepadaku.

20. Ya TUHAN, tidak ada yang sama dengan Engkau; sejak dahulu, kami telah mengetahui bahawa Engkau satu-satunya Allah.

21. Di seluruh bumi tidak ada bangsa seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, untuk menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib yang Engkau lakukan bagi mereka, menjadikan nama-Mu termasyhur di seluruh dunia. Engkau membebaskan umat-Mu dari Mesir, dan mengusir bangsa-bangsa lain ketika umat-Mu maju bertempur.

22. Engkau telah menjadikan Israel, umat-Mu sendiri selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka.

23. Sekarang, ya TUHAN, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang telah Engkau janjikan itu.

24. Engkau akan termasyhur selama-lamanya, dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel.’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku memerintah sebagai raja sepanjang masa.

25. Aku berani berdoa demikian, ya Allahku, kerana Engkau telah menyatakan semua itu kepadaku, hamba-Mu. Engkau telah memberitahu aku bahawa keturunanku akan Engkau jadikan raja-raja bangsa ini.

1 Tawarikh 17