1 Samuel 25:20-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

20. Kemudian Abigail menunggang keldainya. Apabila dia sampai pada selekoh di pinggir gunung, dia berpapasan dengan Daud dan anak buahnya yang sedang turun menuju ke arahnya.

21. Pada masa itu Daud sedang berfikir, “Sia-sialah aku melindungi milik orang itu di padang gurun! Tiada satu pun miliknya dicuri orang, dan sekarang dia membalas kebaikanku dengan kejahatan!

22. Biarlah Allah membunuh aku jika aku tidak membunuh tiap-tiap orang lelaki di sana sebelum matahari terbit!”

23. Apabila Abigail nampak Daud, dia segera turun dari keldainya lalu bersujud

24. di kaki Daud. Abigail berkata, “Tolonglah tuan, sudilah mendengar kata-kata saya. Biarlah kesalahan itu saya tanggung sendiri!

25. Janganlah pedulikan Nabal, orang yang tidak berguna itu. Bukankah namanya sendiri bermakna bodoh? Saya tidak ada di situ ketika utusan-utusan tuan tiba.

26. TUHAN sudah mencegah tuan membalas dendam dan membunuh musuh tuan. Sekarang saya bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa musuh tuan dan semua orang yang hendak berbuat jahat terhadap tuan akan dihukum seperti Nabal.

27. Terimalah pemberian yang saya bawa ini untuk tuan dan anak buah tuan.

28. Ampunkanlah kesalahan saya. Tentu TUHAN akan menjadikan tuan serta keturunan tuan raja Israel, kerana tuan berperang bagi TUHAN; tuan tidak akan melakukan apa-apa kejahatan seumur hidup.

29. Seandainya ada seseorang yang menyerang tuan dan cuba membunuh tuan, maka tentu TUHAN Allah akan melindungi tuan seperti seorang menjaga hartanya yang sangat berharga. Tetapi musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh TUHAN, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali.

1 Samuel 25