9. Kemudian Isai menyuruh Syama menghadap. Samuel berkata, “Dia juga tidak dipilih oleh TUHAN.”
10. Demikianlah Isai menyuruh tujuh orang anaknya menghadap Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Tidak seorang pun antara mereka yang dipilih oleh TUHAN.”
11. Kemudian Samuel bertanya kepada Isai, “Hanya inikah anak lelakimu?”Isai menjawab, “Masih ada seorang lagi, yang bongsu, tetapi dia sedang menggembalakan domba.”Samuel berkata, “Suruhlah orang memanggil dia, kerana kita tidak akan makan bersama-sama sebelum dia datang.”
12. Oleh itu Isai menyuruh orang memanggil anak bongsunya. Ternyata dia seorang pemuda yang kacak, sihat, dan matanya bersinar. TUHAN berfirman kepada Samuel, “Inilah orangnya. Lantiklah dia!”
13. Samuel mengambil minyak zaitun, lalu melantik Daud dengan melumuri kepala Daud dengan minyak di hadapan semua abang Daud. Ketika itu juga Roh TUHAN menguasai Daud dan menyertai dia sejak hari itu. Kemudian Samuel pulang ke Rama.
14. Roh TUHAN meninggalkan Raja Saul, dan baginda diseksa oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN.
15. Maka hamba-hamba Raja Saul berkata kepadanya, “Hamba sekalian tahu bahawa roh jahat yang disuruh oleh TUHAN menyeksa tuanku.
16. Jika tuanku setuju, hamba semua bersedia mencari seorang yang pandai bermain kecapi. Apabila tuanku diseksa oleh roh jahat, orang itu dapat memainkan kecapinya dan tuanku akan berasa tenang lagi.”
17. Oleh itu Raja Saul memberikan perintah, “Carilah seorang yang pandai bermain muzik, dan bawalah dia ke mari.”
18. Mendengar hal itu salah seorang hamba raja berkata, “Isai, orang Betlehem itu mempunyai seorang anak lelaki yang pandai bermain muzik. Dia juga seorang yang berani dan askar yang baik. Lagipun dia kacak dan pandai bercakap. TUHAN menyertai dia.”
19. Kemudian Raja Saul mengutus orang kepada Isai dengan pesan, “Suruhlah anakmu Daud, yang menggembalakan domba itu datang menghadap beta.”
20. Kemudian Isai menyediakan seekor keldai, lalu memuatinya dengan roti dan kirbat kulit yang penuh dengan wain; dia menyediakan juga seekor anak kambing. Semuanya itu diberikannya kepada Daud untuk dipersembahkan kepada Raja Saul.
21. Demikianlah Daud datang kepada Raja Saul dan berkhidmat kepada baginda. Raja Saul sangat suka kepada Daud, lalu memilih dia menjadi pembawa senjatanya.
22. Kemudian Raja Saul mengirim berita kepada Isai, “Beta suka kepada Daud. Benarkanlah dia tetap tinggal di sini dan berkhidmat kepada beta.”
23. Sejak itu, setiap kali Raja Saul dirasuki roh jahat, Daud memainkan kecapinya. Kemudian roh jahat itu meninggalkan Raja Saul, lalu Raja Saul pun menjadi tenang dan baik semula.