3. TUHAN berfirman kepadanya, “Aku telah mendengar doamu. Aku mengekhaskan Rumah yang telah engkau bina ini sebagai tempat beribadat kepada-Ku selama-lamanya. Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya.
4. Jika engkau mengabdi kepada-Ku dengan jujur dan tulus hati seperti bapamu Daud, dan jika engkau taat kepada hukum-hukum-Ku serta melakukan segala yang telah Aku perintahkan kepadamu,
5. Aku akan menepati janji-Ku kepada bapamu Daud, ketika Aku berfirman kepadanya bahawa Israel akan sentiasa diperintah oleh keturunannya.
6. Tetapi jika engkau atau keturunanmu tidak lagi mengikut Aku, dan tidak taat kepada hukum dan perintah yang Aku berikan kepadamu, dan engkau menyembah tuhan-tuhan lain,
7. maka Aku akan membuang umat-Ku Israel dari negeri yang telah Aku berikan kepada mereka. Aku juga akan meninggalkan Rumah ini yang telah Kukhaskan sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Orang di merata tempat akan mengolok-olok dan menghina umat Israel.
8. Rumah ini akan menjadi timbunan puing sehingga setiap orang yang lalu di sini akan terperanjat dan tertegun. Mereka akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap negeri dan Rumah ini?’
9. Orang akan menjawab, ‘Kerana mereka telah meninggalkan TUHAN, Allah mereka yang telah membawa nenek moyang mereka keluar dari Mesir. Mereka menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya TUHAN mendatangkan bencana ini kepada mereka.’ ”
20-21. Buruh paksa yang dikerahkan oleh Raja Salomo ialah keturunan orang Kanaan, yang tidak dibunuh oleh umat Israel ketika mereka merampas negeri itu. Ini termasuk orang Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi, yang keturunan mereka terus menjadi abdi hingga sekarang.
22. Raja Salomo tidak menjadikan sesiapa pun orang Israel sebagai abdi. Mereka dijadikan askar, pegawai, panglima, ketua pasukan berkereta kuda, dan anggota pasukan berkuda.
23. Sebanyak 550 orang pegawai ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan buruh paksa yang bekerja dalam berbagai-bagai projek pembinaan milik Raja Salomo.
24. Raja Salomo menambak tanah di bahagian timur kota itu, selepas isterinya, puteri raja Mesir, pindah dari Kota Daud ke istana yang dibina oleh Raja Salomo untuknya.
25. Tiga kali setahun Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN di atas mazbah yang dibinanya untuk TUHAN. Raja Salomo juga membakar kemenyan untuk TUHAN. Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN.
26. Raja Salomo juga membina kapal-kapal di Ezion-Geber, dekat Elot, di pantai Teluk Akaba, di tanah Edom.
27. Raja Hiram mengirim beberapa orang anak kapalnya yang berpengalaman untuk bertugas bersama-sama anak kapal Raja Salomo.
28. Mereka belayar ke tanah Ofir, dan membawa lebih daripada 14,000 kilogram emas bagi Raja Salomo.