1 Raja-Raja 6:23-38 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

23. Dua kerub yang dibuat daripada kayu zaitun diletakkan di Bilik Maha Suci. Setiap kerub tingginya 4.4 meter.

24-26. Kedua-duanya sama besar dan serupa. Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Jarak antara kedua-dua hujung sayap itu 4.4 meter jauhnya.

27. Kedua-dua kerub itu diletakkan berdampingan di Bilik Maha Suci, supaya kedua-dua hujung sayapnya saling menyentuh di tengah-tengah bilik, dan hujung kedua-dua sayap yang satu lagi menyentuh dinding.

28. Kedua-dua kerub itu dilapisi emas.

29. Seluruh dinding bahagian dalam Rumah TUHAN dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar.

30. Seluruh lantai di dalam Rumah TUHAN dilapisi emas.

31. Pada pintu masuk Bilik Maha Suci itu dipasang dua daun pintu daripada kayu zaitun. Bahagian atas ambang pintu itu berbentuk lengkungan yang tajam.

32. Daun-daun pintunya dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Daun pintu, kerub, dan pokok palma semuanya dilapisi emas.

33. Bingkai pintu masuk ke bilik depan berbentuk segiempat bujur dan dibuat daripada kayu zaitun.

34. Ada dua lagi daun pintu yang dapat dilipat, yang dibuat daripada kayu sipres.

35. Daun-daun pintu itu dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Semuanya dilapisi emas.

36. Sebuah halaman dibina di depan Rumah TUHAN. Halaman ini dikelilingi tembok yang dibuat berlapis-lapis: satu lapis kayu sedar bagi tiap-tiap tiga lapis batu.

37. Asas Rumah TUHAN diletakkan pada bulan kedua, iaitu bulan Ziv, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo.

38. Pada bulan kelapan, iaitu bulan Bul, pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Salomo, pembinaan Rumah TUHAN selesai, tepat seperti yang telah dirancangkan. Pembinaan itu memakan masa tujuh tahun.

1 Raja-Raja 6