1 Raja-Raja 5:6-12 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Sudilah menyuruh rakyat tuanku ke Lebanon untuk menebang pokok sedar bagi beta. Rakyat beta akan bekerjasama dengan rakyat tuanku. Beta akan membayar upah rakyat tuanku, menurut kadar yang tuanku tentukan. Sebagaimana tuanku maklum, rakyat tuanku lebih pandai menebang pokok daripada rakyat beta.”

7. Raja Hiram sangat gembira menerima pesan Raja Salomo itu. Baginda bertitah, “Terpujilah TUHAN pada hari ini, kerana Dia telah memberikan seorang putera yang sangat bijaksana kepada Raja Daud untuk menggantikan baginda memerintah bangsa yang sedemikian besar!”

8. Kemudian Raja Hiram mengirim jawapan ini kepada Raja Salomo, “Beta telah menerima pesan tuanku, dan beta bersedia memenuhi apa sahaja permintaan tuanku. Beta akan menyediakan kayu sedar Lebanon dan kayu sipres.

9. Rakyat beta akan membawa balak itu turun dari Lebanon ke laut. Mereka akan mengikat balak-balak itu menjadi rakit lalu dihanyutkan menyusur pantai ke tempat pilihan tuanku. Di sana rakyat beta akan membongkar rakit-rakit itu, lalu bolehlah rakyat tuanku mengambilnya. Tanggungan tuanku adalah menyediakan makanan bagi rakyat beta.”

10. Oleh itu Raja Hiram memberi Raja Salomo segala kayu sedar Lebanon dan kayu sipres yang dikehendakinya.

11. Raja Salomo pula memberi Raja Hiram 322,500 kilogram gandum dan 400,000 liter minyak zaitun asli setiap tahun untuk makanan rakyat Raja Hiram.

12. TUHAN menepati janji-Nya. Dia memberi Raja Salomo kebijaksanaan. Perhubungan antara Raja Hiram dan Raja Salomo baik, dan baginda berdua membuat ikatan perjanjian.

1 Raja-Raja 5