8. Aku berada di kalangan bangsa yang telah Engkau pilih menjadi umat-Mu sendiri - suatu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung.
9. Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan yang aku perlukan untuk memerintah umat-Mu dengan adil, dan supaya aku tahu membezakan yang baik daripada yang jahat. Jika tidak, mana mungkin aku sanggup memerintah umat-Mu yang besar ini?”
10. TUHAN berkenan pada permintaan Raja Salomo itu.
11. Lalu Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Oleh sebab engkau telah minta kebijaksanaan dan bukan umur panjang, atau kekayaan, ataupun kematian musuhmu,
12. Aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku akan mengurniai engkau kebijaksanaan dan pengertian yang belum pernah dipunyai atau akan dipunyai sesiapa pun.
13. Bahkan Aku akan mengurniakan juga perkara yang tidak engkau minta: seumur hidupmu engkau akan menjadi lebih kaya dan lebih dihormati orang daripada raja mana pun.
14. Jika engkau taat kepada-Ku dan patuh kepada hukum-Ku seperti bapamu Daud dahulu, Aku akan mengurniai engkau umur panjang.”
15. Apabila Raja Salomo terjaga, baginda sedar bahawa Allah telah berfirman kepada baginda dalam mimpi. Kemudian Raja Salomo pergi ke Yerusalem dan berdiri di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu Raja Salomo mengadakan jamuan bagi semua pegawai baginda.
16. Pada suatu hari, dua orang pelacur perempuan menghadap Raja Salomo.
17. Seorang daripada mereka berkata kepada raja, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Dia berada di rumah ketika hamba melahirkan seorang anak lelaki.
18. Dua hari kemudian, dia pula melahirkan seorang anak lelaki. Kami berdua sahaja tinggal di rumah; tiada orang lain yang bersama-sama kami.
19. Pada suatu malam, sedang perempuan ini tidur, dengan tidak sengaja dia menindih anaknya sehingga anak itu mati.
20. Pada tengah malam, sedang hamba tidur, dia bangun dan mengambil anak hamba dari sisi hamba, lalu membawa anak hamba ke tempat tidurnya. Selepas itu dia meletakkan mayat anaknya di tempat tidur hamba.
21. Esok paginya, ketika hamba bangun dan hendak menyusui anak hamba, hamba mendapati bahawa anak itu sudah mati. Apabila hamba melihat anak itu dengan lebih teliti, hamba mendapati bahawa anak itu bukan anak hamba.”