16. Pada suatu hari, dua orang pelacur perempuan menghadap Raja Salomo.
17. Seorang daripada mereka berkata kepada raja, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Dia berada di rumah ketika hamba melahirkan seorang anak lelaki.
18. Dua hari kemudian, dia pula melahirkan seorang anak lelaki. Kami berdua sahaja tinggal di rumah; tiada orang lain yang bersama-sama kami.
19. Pada suatu malam, sedang perempuan ini tidur, dengan tidak sengaja dia menindih anaknya sehingga anak itu mati.
20. Pada tengah malam, sedang hamba tidur, dia bangun dan mengambil anak hamba dari sisi hamba, lalu membawa anak hamba ke tempat tidurnya. Selepas itu dia meletakkan mayat anaknya di tempat tidur hamba.
21. Esok paginya, ketika hamba bangun dan hendak menyusui anak hamba, hamba mendapati bahawa anak itu sudah mati. Apabila hamba melihat anak itu dengan lebih teliti, hamba mendapati bahawa anak itu bukan anak hamba.”
22. Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, “Tidak! Anak yang hidup ini memang anakku. Anak yang sudah mati itu anakmu!”Perempuan yang pertama tadi berkata, “Tidak! Yang mati itu anakmu, dan yang hidup itu anakku!”Demikianlah mereka bertengkar di hadapan raja.