1 Raja-Raja 3:12-28 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku akan mengurniai engkau kebijaksanaan dan pengertian yang belum pernah dipunyai atau akan dipunyai sesiapa pun.

13. Bahkan Aku akan mengurniakan juga perkara yang tidak engkau minta: seumur hidupmu engkau akan menjadi lebih kaya dan lebih dihormati orang daripada raja mana pun.

14. Jika engkau taat kepada-Ku dan patuh kepada hukum-Ku seperti bapamu Daud dahulu, Aku akan mengurniai engkau umur panjang.”

15. Apabila Raja Salomo terjaga, baginda sedar bahawa Allah telah berfirman kepada baginda dalam mimpi. Kemudian Raja Salomo pergi ke Yerusalem dan berdiri di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu Raja Salomo mengadakan jamuan bagi semua pegawai baginda.

16. Pada suatu hari, dua orang pelacur perempuan menghadap Raja Salomo.

17. Seorang daripada mereka berkata kepada raja, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Dia berada di rumah ketika hamba melahirkan seorang anak lelaki.

18. Dua hari kemudian, dia pula melahirkan seorang anak lelaki. Kami berdua sahaja tinggal di rumah; tiada orang lain yang bersama-sama kami.

19. Pada suatu malam, sedang perempuan ini tidur, dengan tidak sengaja dia menindih anaknya sehingga anak itu mati.

20. Pada tengah malam, sedang hamba tidur, dia bangun dan mengambil anak hamba dari sisi hamba, lalu membawa anak hamba ke tempat tidurnya. Selepas itu dia meletakkan mayat anaknya di tempat tidur hamba.

21. Esok paginya, ketika hamba bangun dan hendak menyusui anak hamba, hamba mendapati bahawa anak itu sudah mati. Apabila hamba melihat anak itu dengan lebih teliti, hamba mendapati bahawa anak itu bukan anak hamba.”

22. Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, “Tidak! Anak yang hidup ini memang anakku. Anak yang sudah mati itu anakmu!”Perempuan yang pertama tadi berkata, “Tidak! Yang mati itu anakmu, dan yang hidup itu anakku!”Demikianlah mereka bertengkar di hadapan raja.

23. Kemudian Raja Salomo bertitah, “Kamu masing-masing menuntut bahawa anak yang hidup ini anakmu, dan bahawa anak yang mati itu bukan anakmu.”

24. Raja menyuruh orang membawa sebilah pedang,

25. dan bertitah, “Potonglah anak yang hidup ini menjadi dua, dan berikanlah satu potong kepada masing-masing perempuan ini.”

26. Mendengar perintah itu, ibu sebenar kepada anak itu berkata, “Ampun tuanku, tolong jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan ini!” Ibu itu berkata begitu kerana dia sangat mengasihi anaknya.Tetapi perempuan yang satu lagi berkata, “Tak payahlah tuanku berikan anak itu kepada sesiapa pun; potonglah anak ini.”

27. Kemudian Raja Salomo bertitah, “Jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan yang pertama. Dialah ibunya.”

28. Apabila umat Israel mendengar keputusan yang diberikan oleh Raja Salomo, mereka sangat menghormati baginda kerana mereka tahu bahawa Allah telah memberikan kebijaksanaan kepadanya untuk menjalankan keadilan.

1 Raja-Raja 3