1 Raja-Raja 3:1-9 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Raja Salomo menjadikan raja Mesir sekutunya dengan mengahwini puteri raja Mesir. Raja Salomo membawa puteri itu tinggal di Kota Daud sehingga pembinaan istana Raja Salomo, Rumah TUHAN, dan tembok di sekeliling kota Yerusalem selesai.

2. Pada masa itu Rumah TUHAN belum dibina. Oleh itu rakyat mempersembahkan korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat.

3. Raja Salomo mengasihi TUHAN dan menurut nasihat Raja Daud, ayahandanya, tetapi Raja Salomo pun menyembelih binatang dan mempersembahkannya sebagai korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat.

4. Pada suatu masa Raja Salomo pergi ke Gibeon untuk mempersembahkan korban, kerana di situlah mazbah yang termasyhur. Baginda telah mempersembahkan beratus-ratus korban di mazbah itu dahulu.

5. Tetapi pada malam itu TUHAN menampakkan diri kepada Raja Salomo dalam mimpi dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?”

6. Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar terhadap hamba-Mu Raja Daud, bapaku. Dia baik, setia, dan tulus terhadap-Mu. Engkau sentiasa menunjukkan kasih-Mu yang besar dan abadi terhadapnya dengan memberi dia seorang putera, yang kini memerintah untuk menggantikan dia.

7. Ya TUHAN Allah, Engkau telah membenarkan aku menjadi raja menggantikan bapaku, walaupun aku masih sangat muda dan tidak tahu memerintah.

8. Aku berada di kalangan bangsa yang telah Engkau pilih menjadi umat-Mu sendiri - suatu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung.

9. Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan yang aku perlukan untuk memerintah umat-Mu dengan adil, dan supaya aku tahu membezakan yang baik daripada yang jahat. Jika tidak, mana mungkin aku sanggup memerintah umat-Mu yang besar ini?”

1 Raja-Raja 3