1 Raja-Raja 22:21-39 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

21. Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya,

22. ‘Bagaimana?’ Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ”

23. Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!”

24. Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?”

25. Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.”

26. Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada Amon, gabenor kota itu, dan kepada Putera Yoas.

27. Suruh mereka memasukkan dia ke dalam penjara, dan memberi dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”

28. Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah, hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini.”

29. Kemudian Raja Ahab, raja Israel dan Raja Yosafat, raja Yehuda pergi menyerang kota Ramot di Gilead.

30. Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian kebesaran.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur.

31. Raja negeri Siria telah memerintah tiga puluh dua orang panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel.

32. Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak,

33. mereka sedar bahawa baginda bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda.

34. Kebetulan salah seorang askar negeri Siria melepaskan anak panah yang mengenai Raja Ahab pada sambungan baju zirahnya. “Beta luka!” teriak Raja Ahab kepada pemandu kereta kudanya. “Pusingkan kereta kuda dan keluarlah dari pertempuran ini!”

35. Sementara pertempuran itu berkobar, Raja Ahab menopang diri di atas kereta kudanya yang berhadapan dengan tentera Siria. Darah mengalir dari lukanya, sehingga membasahi lantai kereta kuda baginda. Pada petangnya baginda mangkat.

36. Menjelang matahari terbenam, segenap tentera Israel diperintahkan pulang ke kota dan daerah masing-masing.

37. Demikianlah Raja Ahab mangkat. Jenazahnya dibawa ke Samaria lalu dimakamkan.

38. Kereta kudanya dicuci di kolam Samaria, tempat anjing-anjing menjilat darahnya dan para pelacur mandi, tepat seperti yang difirmankan TUHAN.

39. Segala perbuatan Raja Ahab, termasuk kisah istana yang dihiasi gading dan kota-kota yang dibinanya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

1 Raja-Raja 22