11. Raja Ahab menjawab, “Katakanlah kepada Raja Benhadad bahawa seorang askar yang sejati membanggakan kebesarannya setelah pertempuran, bukan sebelumnya!”
12. Raja Benhadad menerima jawapan Raja Ahab itu ketika baginda dan raja-raja sekutunya sedang minum-minum di perkhemahan mereka. Raja Benhadad memerintah tenteranya bersiap untuk berperang, lalu mereka pun bersedia.
13. Sementara itu, seorang nabi menghadap Raja Ahab dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Jangan takut kepada pasukan tentera yang besar itu! Pada hari ini Aku akan memberikan kemenangan kepadamu dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”
14. “Siapakah yang akan mengetuai serangan?” tanya Raja Ahab.Nabi itu menjawab, “Menurut firman TUHAN, askar-askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah akan mengetuai serangan.”“Tetapi siapakah yang akan memulakan serangan?” tanya raja.“Tuanku!” jawab nabi itu.
15. Oleh itu raja memanggil semua askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah, jumlahnya 232 orang askar. Setelah itu baginda memanggil pula tentera Israel dan jumlahnya 7,000 orang.
16. Serangan itu bermula pada tengah hari ketika Raja Benhadad dan tiga puluh dua orang raja sekutunya sedang mabuk di perkhemahan mereka.
17. Askar-askar muda itu bertempur dahulu. Apabila pengintip yang disuruh Raja Benhadad melaporkan bahawa ada sepasukan askar datang dari Samaria,
18. Raja Benhadad bertitah, “Tangkaplah mereka hidup-hidup, sama ada mereka datang untuk berperang ataupun untuk berdamai!”
19. Askar-askar muda itu mengetuai serangan, diikuti oleh tentera Israel,
20. dan masing-masing membunuh musuh yang dilawannya. Tentera negeri Siria lari sambil dikejar tentera Israel. Tetapi Raja Benhadad terlepas daripada serangan itu. Dia melarikan diri dengan menunggang seekor kuda, diiringi oleh beberapa orang askar berkuda.
21. Raja Ahab juga keluar bertempur dan memusnahkan kuda serta kereta kuda musuh, sehingga orang Siria kalah teruk.
22. Kemudian nabi itu menghadap Raja Ahab dan berkata, “Pulanglah dan perkuatlah semula tentera tuanku. Buatlah perancangan yang baik, kerana pada musim bunga tahun depan, raja negeri Siria akan menyerang tuanku lagi.”