8. Ada lagi seorang yang bernama Simei anak Gera, dari kota Bahurim di wilayah Benyamin. Dia mengutuk beta dengan kejam pada waktu beta pergi ke Mahanaim. Tetapi apabila dia datang berjumpa dengan beta di Sungai Yordan, beta berjanji demi TUHAN bahawa beta tidak akan membunuh dia.
9. Tetapi jangan biar dia terlepas daripada hukuman. Engkau tahu apa yang harus dilakukan; pastikanlah supaya dia dihukum mati.”
10. Raja Daud mangkat dan dimakamkan di Kota Daud.
11. Baginda menjadi raja Israel selama empat puluh tahun: baginda memerintah di Hebron selama tujuh tahun, dan di Yerusalem selama tiga puluh tiga tahun.
12. Kemudian Raja Salomo menjadi raja menggantikan Raja Daud, ayahandanya. Kekuasaan Raja Salomo sebagai raja menjadi kukuh.
13. Selepas itu Adonia anak Hagit, pergi berjumpa dengan Batsyeba, bonda Raja Salomo. Batsyeba bertanya kepada Adonia, “Adakah kedatanganmu ini dengan maksud baik?”“Ya,” jawab Adonia.
14. Adonia berkata lagi, “Ada sesuatu yang hendak saya minta daripada puan.”“Apakah itu?” tanya Batsyeba.
15. Adonia berkata, “Puan tahu bahawa sayalah yang seharusnya menjadi raja, dan itulah yang diharapkan oleh setiap orang Israel. Tetapi perkara itu tidak berlaku, dan adik saya pula yang menjadi raja, kerana itulah kehendak TUHAN.
16. Sekarang saya ada satu permintaan; tolong jangan tolak permintaan saya ini.”
17. “Apakah permintaanmu itu?” tanya Batsyeba.Adonia menjawab, “Tolonglah mohon kepada Raja Salomo - saya tahu raja tidak akan menolak permintaan puan - supaya membenarkan saya berkahwin dengan Abisag, gadis dari Sunem itu.”
18. “Baiklah,” jawab Batsyeba. “Saya akan menyampaikan permintaanmu kepada raja.”
19. Kemudian Batsyeba menghadap Raja Salomo untuk menyampaikan hal itu bagi pihak Adonia. Raja berdiri menyambut bondanya dan bersujud di hadapannya. Raja Salomo duduk di atas takhtanya, lalu menyediakan sebuah takhta lagi di sebelah kanan untuk bonda baginda.
20. Batsyeba berkata, “Bonda ingin meminta sesuatu yang kecil saja daripadamu; tolong jangan tolak permintaan bonda.”“Apakah permintaan bonda?” tanya Raja Salomo. “Saya tidak akan menolak permintaan bonda.”