1 Raja-Raja 2:31-37 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

31. Raja bertitah, “Laksanakanlah apa yang dikatakan Yoab. Bunuhlah dia dan kebumikanlah dia. Dengan demikian beta dan keturunan Raja Daud yang lain tidak lagi bertanggungjawab terhadap perbuatan Yoab ketika dia membunuh orang yang tidak bersalah.

32. TUHAN akan menghukum Yoab kerana pembunuhan yang dilakukannya tanpa pengetahuan Raja Daud, ayahanda beta. Yoab membunuh dua orang yang tidak bersalah, dua orang yang lebih baik daripadanya: Abner panglima tentera Israel dan Amasa panglima tentera Yehuda.

33. Hukuman atas kematian dua orang pahlawan itu akan ditanggung oleh Yoab dan keturunannya sampai selama-lamanya. Tetapi TUHAN akan sentiasa memberikan kejayaan kepada keturunan Raja Daud yang duduk di atas takhta baginda.”

34. Kemudian Benaya pergi ke Khemah TUHAN, lalu membunuh Yoab. Yoab dikebumikan di rumahnya di luar kota.

35. Kemudian Raja Salomo melantik Benaya menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab, dan melantik Imam Zadok untuk menggantikan Abyatar.

36. Selepas itu Raja Salomo memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Binalah sebuah rumah bagimu sendiri di sini, di Yerusalem. Tinggallah di situ dan jangan tinggalkan kota.

37. Jika engkau keluar dan menyeberangi sungai kecil Kidron, tentu engkau akan dibunuh, dan engkau sendirilah yang bertanggungjawab terhadap kematianmu.”

1 Raja-Raja 2