1 Raja-Raja 2:27-45 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Raja Salomo memecat Abyatar daripada pekerjaannya sebagai imam TUHAN. Dengan demikian, berlakulah apa yang difirmankan TUHAN di Silo tentang Imam Eli dan keturunannya.

28. Yoab mendengar apa yang telah berlaku. (Dia telah berpihak kepada Adonia, tetapi dia tidak berpihak kepada Absalom.) Oleh itu dia lari ke Khemah TUHAN dan memegang unjuran-unjuran mazbah.

29. Berita tentang Yoab yang telah pergi ke Khemah TUHAN dan berada di sisi mazbah, disampaikan kepada Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh orang untuk menanyakan Yoab sebabnya dia pergi ke Khemah TUHAN. Yoab menjawab bahawa dia lari kepada TUHAN kerana dia takut akan Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh Benaya membunuh Yoab.

30. Benaya pergi ke Khemah TUHAN lalu berkata kepada Yoab, “Raja menyuruh kamu keluar.”Yoab menjawab, “Tidak. Saya mahu mati di sini.”Benaya balik kepada raja dan memberitahu baginda jawapan Yoab.

31. Raja bertitah, “Laksanakanlah apa yang dikatakan Yoab. Bunuhlah dia dan kebumikanlah dia. Dengan demikian beta dan keturunan Raja Daud yang lain tidak lagi bertanggungjawab terhadap perbuatan Yoab ketika dia membunuh orang yang tidak bersalah.

32. TUHAN akan menghukum Yoab kerana pembunuhan yang dilakukannya tanpa pengetahuan Raja Daud, ayahanda beta. Yoab membunuh dua orang yang tidak bersalah, dua orang yang lebih baik daripadanya: Abner panglima tentera Israel dan Amasa panglima tentera Yehuda.

33. Hukuman atas kematian dua orang pahlawan itu akan ditanggung oleh Yoab dan keturunannya sampai selama-lamanya. Tetapi TUHAN akan sentiasa memberikan kejayaan kepada keturunan Raja Daud yang duduk di atas takhta baginda.”

34. Kemudian Benaya pergi ke Khemah TUHAN, lalu membunuh Yoab. Yoab dikebumikan di rumahnya di luar kota.

35. Kemudian Raja Salomo melantik Benaya menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab, dan melantik Imam Zadok untuk menggantikan Abyatar.

36. Selepas itu Raja Salomo memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Binalah sebuah rumah bagimu sendiri di sini, di Yerusalem. Tinggallah di situ dan jangan tinggalkan kota.

37. Jika engkau keluar dan menyeberangi sungai kecil Kidron, tentu engkau akan dibunuh, dan engkau sendirilah yang bertanggungjawab terhadap kematianmu.”

38. “Baiklah tuanku,” jawab Simei. “Hamba akan taat kepada titah tuanku.” Maka Simei tinggal lama di Yerusalem.

39. Tetapi tiga tahun kemudian, dua orang abdi Simei lari kepada Raja Akhis anak Maakha, raja Gat. Apabila Simei mendengar bahawa abdi-abdinya berada di Gat,

40. dia menunggang keldainya lalu pergi kepada Raja Akhis di Gat untuk mencari mereka. Setelah dia menjumpai mereka, dia membawa mereka pulang.

41. Apabila Raja Salomo mendengar hal yang dilakukan Simei,

42. baginda memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Tidakkah beta menyuruh engkau bersumpah demi TUHAN bahawa engkau tidak sekali-kali akan meninggalkan Yerusalem? Beta telah memberikan amaran kepadamu bahawa jika engkau berbuat demikian engkau akan mati! Tidakkah engkau telah bersetuju dan berkata bahawa engkau akan taat kepada titah beta?

43. Mengapakah engkau mungkir janji dan melanggar perintah beta?

44. Engkau tentu tahu akan segala kesalahanmu terhadap Raja Daud, ayahanda beta. Sekarang TUHAN akan menghukum engkau kerana perbuatanmu itu.

45. Tetapi Dia akan memberkati beta dan mengukuhkan kerajaan Raja Daud selama-lamanya.”

1 Raja-Raja 2