1 Raja-Raja 2:21-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

21. Batsyeba berkata, “Benarkanlah abangmu Adonia berkahwin dengan Abisag.”

22. Raja Salomo bertanya, “Mengapakah bonda menyuruh saya memberikan Abisag kepada Adonia? Itu sama saja dengan meminta saya menyerahkan takhta saya kepadanya. Bukankah dia abang saya? Lagi pula, Imam Abyatar dan Yoab berpihak kepadanya!”

23. Kemudian Raja Salomo bersumpah demi TUHAN, titahnya, “Biarlah Allah membunuh beta jika beta tidak menjatuhkan hukuman mati kepada Adonia kerana meminta perkara itu!

24. TUHAN telah mengukuhkan kedudukan beta di atas takhta ayahanda beta, Raja Daud. TUHAN telah menepati janji-Nya dan telah memberikan kerajaan ini kepada beta dan keturunan beta. Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa Adonia akan mati pada hari ini juga!”

25. Kemudian Raja Salomo memberikan perintah kepada Benaya, lalu Benaya pergi membunuh Adonia.

26. Selepas itu Raja Salomo bertitah kepada Imam Abyatar, “Pulanglah ke kampung halamanmu di Anatot. Kamu sepatutnya dihukum mati, tetapi beta tidak akan menjatuhkan hukuman itu kepadamu sekarang, kerana ketika kamu masih bersama dengan ayahanda beta, kamu menjaga Tabut Perjanjian TUHAN, dan kamu ikut menderita bersama dengan ayahanda beta.”

27. Raja Salomo memecat Abyatar daripada pekerjaannya sebagai imam TUHAN. Dengan demikian, berlakulah apa yang difirmankan TUHAN di Silo tentang Imam Eli dan keturunannya.

28. Yoab mendengar apa yang telah berlaku. (Dia telah berpihak kepada Adonia, tetapi dia tidak berpihak kepada Absalom.) Oleh itu dia lari ke Khemah TUHAN dan memegang unjuran-unjuran mazbah.

29. Berita tentang Yoab yang telah pergi ke Khemah TUHAN dan berada di sisi mazbah, disampaikan kepada Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh orang untuk menanyakan Yoab sebabnya dia pergi ke Khemah TUHAN. Yoab menjawab bahawa dia lari kepada TUHAN kerana dia takut akan Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh Benaya membunuh Yoab.

1 Raja-Raja 2