16. TUHAN akan meninggalkan Israel, kerana Raja Yerobeam telah berdosa dan menyebabkan umat Israel berdosa.”
17. Kemudian isteri Raja Yerobeam kembali ke Tirza. Tepat pada saat isteri raja itu masuk ke rumahnya, putera raja mangkat.
18. Umat Israel meratapi dan memakamkan putera itu seperti firman TUHAN yang disampaikan oleh hamba-Nya, Nabi Ahia.
19. Segala perbuatan Raja Yerobeam, peperangan yang dimenanginya dan pemerintahannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
20. Raja Yerobeam memerintah sebagai raja selama dua puluh dua tahun. Setelah baginda mangkat dan dimakamkan, Nadab, puteranya, menggantikan baginda sebagai raja.
21. Raja Rehabeam putera Raja Salomo berusia empat puluh satu tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda. Raja Rehabeam memerintah selama tujuh belas tahun di Yerusalem, kota yang dipilih oleh TUHAN di antara seluruh kawasan Israel sebagai tempat beribadat kepada-Nya. Bonda Raja Rehabeam ialah Naama, seorang wanita Amon.
22. Penduduk Yehuda berdosa terhadap TUHAN. Perbuatan mereka lebih membangkitkan kemurkaan TUHAN daripada segala perbuatan nenek moyang mereka.