1 Raja-Raja 12:22-31 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

22. Tetapi Allah menyuruh Nabi Semaya

23. menyampaikan firman-Nya kepada Raja Rehabeam dan segenap suku Yehuda dan Benyamin,

24. “Demikianlah firman TUHAN, ‘Jangan serang orang Israel, saudara kamu sendiri. Pulanglah kamu semua! Apa yang telah berlaku adalah kehendak-Ku.’ ” Mereka semua taat kepada perintah TUHAN lalu pulang ke rumah.

25. Raja Yerobeam, raja Israel, membina semula kota Sikhem di perbukitan Efraim dan tinggal di sana untuk sementara. Kemudian baginda meninggalkan tempat itu, dan membina pula kota Penuel.

26-27. Baginda berfikir, “Dalam keadaan sekarang ini, jika rakyat beta pergi ke Yerusalem untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN di Rumah TUHAN, kesetiaan mereka akan beralih kepada Raja Rehabeam di Yehuda, lalu mereka akan membunuh beta.”

28. Setelah lama berfikir, Raja Yerobeam membuat dua patung lembu jantan daripada emas lalu bertitah kepada rakyatnya, “Telah cukup lama kamu beribadat di Yerusalem. Sekarang, hai Israel, inilah tuhan-tuhan kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir!”

29. Raja Yerobeam menempatkan satu patung lembu emas di Betel dan satu lagi di Dan.

30. Demikianlah rakyat berdosa kerana mereka bersembahyang di Betel dan di Dan.

31. Yerobeam juga membina tempat-tempat sembahyang di atas bukit-bukit, dan memilih imam-imam yang bukan daripada suku Lewi.

1 Raja-Raja 12