1 Raja-Raja 1:38-50 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5-6. Selepas Absalom meninggal, Adonia, putera Raja Daud dan Hagit, menjadi putera yang tertua. Adonia seorang pemuda yang sangat kacak. Raja Daud, ayahandanya, tidak pernah memarahi Adonia walaupun dia berbuat salah. Adonia ingin sekali menjadi raja. Oleh itu dia melengkapi dirinya dengan kereta kuda, pasukan berkuda, dan lima puluh orang sebagai pengawal peribadinya.

38. Kemudian Zadok, Natan, Benaya dan pengawal peribadi raja mempersilakan Salomo naik ke atas baghal Raja Daud, lalu mengiringinya ke mata air di Gihon.

39. Zadok mengambil bekas minyak zaitun yang dibawanya dari Khemah TUHAN, lalu melumuri Salomo dengan minyak itu untuk melantik dia. Mereka meniup trompet lalu semua orang bersorak, “Daulat Tuanku Raja Salomo!”

40. Selepas itu mereka mengiringi Raja Salomo balik ke istana sambil bersorak-sorak dan meniupkan seruling. Suara mereka begitu kuat sehingga bumi seakan-akan terbelah kerana keriuhan itu.

41. Adonia dan para jemputannya baru selesai berpesta ketika mereka mendengar keriuhan itu. Apabila Yoab mendengar bunyi trompet, dia bertanya, “Apakah yang menyebabkan keriuhan di dalam kota itu?”

42. Sedang dia berkata-kata, Yonatan anak Imam Abyatar tiba. Adonia berkata kepadanya, “Kamu orang baik, tentu kamu membawa berita baik. Silalah masuk.”

43. “Saya tidak membawa berita baik,” jawab Yonatan. “Tuanku Raja Daud telah melantik Salomo menjadi raja.

44. Baginda menyuruh Zadok, Natan, Benaya, dan pengawal peribadi raja untuk mengiringi Salomo. Mereka telah menaikkan Salomo ke atas baghal raja.

45. Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja dengan melumuri kepalanya dengan minyak, di mata air Gihon. Selepas itu mereka masuk ke dalam kota sambil bersorak-sorak. Itulah keriuhan yang kamu dengar tadi.

46. Sekarang Salomo yang menjadi raja.

47. Lagi pun para pegawai istana masuk menghadap Raja Daud untuk mengucapkan tahniah kepada baginda. Mereka berkata, ‘Semoga Allah tuanku menjadikan Raja Salomo lebih termasyhur daripada tuanku, dan semoga kerajaan baginda lebih makmur daripada kerajaan tuanku.’ Kemudian Raja Daud bersujud di tempat tidurnya untuk menyembah TUHAN,

48. sambil berdoa, ‘Terpujilah Engkau, ya TUHAN, Allah Israel. Pada hari ini Engkau telah melantik salah seorang keturunanku menjadi raja untuk menggantikan aku. Engkau telah membenarkan aku menyaksikannya!’ ”

49. Kemudian para jemputan Adonia berasa takut. Mereka berdiri dan meninggalkan tempat itu, masing-masing pergi mengikut jalannya sendiri.

50. Adonia sangat takut kepada Raja Salomo sehingga dia pergi ke Khemah TUHAN, lalu memegang unjuran-unjuran mazbah.

1 Raja-Raja 1