58. Kemudian semua orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum bersekongkol. Kata mereka, “Lihat, Yonatan dan anak buahnya tinggal di sini dengan aman dan tenteram. Baiklah kita panggil Bakhides supaya dia dapat menangkap mereka semua dalam waktu satu malam saja.”
59. Maka pergilah mereka berunding dengan Bakhides.
60. Lalu Bakhides datang dengan banyak pasukan tentera. Dia mengirim surat-surat rahsia kepada semua sekutunya di Yudea supaya mereka menangkap Yonatan dan pengikut-pengikutnya. Tetapi usaha itu tidak berjaya kerana komplot mereka terbongkar.
61. Yonatan dan anak buahnya menangkap lima puluh orang Yahudi yang mendalangi komplotan itu dan membunuh mereka semua.
62. Lalu Yonatan, Simon, dan pasukan-pasukan mereka melarikan diri ke Bet-Basi di padang gurun. Puing-puing kota itu dibina semula oleh mereka dan pertahanannya diperkukuh.
63. Apabila mendengar hal itu, Bakhides mengumpulkan seluruh tenteranya dan juga mengerahkan para penyokongnya di Yudea.
64. Lalu dia pergi dan mengepung kota Bet-Basi. Berhari-hari kota itu diserangnya dengan alat-alat penggempur buatan sendiri.
65. Tetapi Yonatan meninggalkan Simon abangnya di dalam kota, sedangkan dia sendiri dengan beberapa orang sahaja keluar ke pedalaman.
66. Dia menyerang Odomer dan sanak saudaranya, juga kaum Fasiron di dalam khemah-khemah mereka. Setelah dikalahkan, mereka bergabung dengan Yonatan dan mara bersama-samanya untuk menyerang Bakhides.
67. Sementara itu Simon dan anak buahnya keluar dari kota dan membakar habis semua alat penggempur.
68. Dalam pertempuran itu Bakhides dikalahkan. Dia berasa sangat geram kerana rancangan serangannya gagal.
69. Maka berkobarlah kemarahannya terhadap orang Yahudi derhaka yang telah mendesaknya untuk datang ke negeri itu. Banyak antara mereka dibunuhnya.Lalu dia memutuskan untuk pulang ke negerinya.
70. Apabila mendengar hal itu, Yonatan mengirim utusan kepada Bakhides untuk merundingkan perdamaian dan pembebasan para tawanan.
71. Bakhides menerima dan melaksanakan usul Yonatan dan berjanji dengan sumpah bahawa selama hidupnya dia tidak akan berbuat jahat terhadap Yonatan.
72. Sesudah membebaskan para tawanan dari negeri Yudea, Bakhides pulang ke negerinya dan tidak datang lagi ke wilayah orang Yahudi.
73. Maka berhentilah perang di Israel. Yonatan menetap di Mikhmas dan mula memerintah rakyat. Orang Yahudi yang derhaka dilenyapkannya dari Israel.