1 Makabe 9:51-65 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

51. Di dalam kubu-kubu itu Bakhides menempatkan tentera untuk mengganggu orang Israel.

52. Dia juga memperkukuh pertahanan kota-kota Bet-Zur dan Gezer serta kubu di Yerusalem dan menempatkan sebuah pasukan tentera dan bekalan makanan di dalamnya.

53. Lalu dia mengambil anak-anak orang terkemuka di negeri itu dan menahan mereka di dalam kubu itu sebagai tawanan.

54. Dalam bulan dua tahun 153 Imam Agung Alkimus memberi perintah untuk merobohkan tembok di halaman Rumah Allah; dengan demikian dia akan memusnahkan pekerjaan yang dahulu dipimpin oleh para nabi. Tetapi kerja perobohan yang baru sahaja dimulakan,

55. terpaksa dihentikan oleh sebab Alkimus diserang penyakit. Badannya lumpuh dan dia tidak dapat membuka mulutnya untuk bercakap. Bahkan dia tidak dapat membuat wasiat untuk keluarganya.

56. Pada saat itu juga dia meninggal dalam keadaan terseksa.

57. Apabila Bakhides mendengar bahawa Alkimus sudah meninggal, dia kembali kepada Raja Demetrius. Lalu negeri Yudea aman selama dua tahun.

58. Kemudian semua orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum bersekongkol. Kata mereka, “Lihat, Yonatan dan anak buahnya tinggal di sini dengan aman dan tenteram. Baiklah kita panggil Bakhides supaya dia dapat menangkap mereka semua dalam waktu satu malam saja.”

59. Maka pergilah mereka berunding dengan Bakhides.

60. Lalu Bakhides datang dengan banyak pasukan tentera. Dia mengirim surat-surat rahsia kepada semua sekutunya di Yudea supaya mereka menangkap Yonatan dan pengikut-pengikutnya. Tetapi usaha itu tidak berjaya kerana komplot mereka terbongkar.

61. Yonatan dan anak buahnya menangkap lima puluh orang Yahudi yang mendalangi komplotan itu dan membunuh mereka semua.

62. Lalu Yonatan, Simon, dan pasukan-pasukan mereka melarikan diri ke Bet-Basi di padang gurun. Puing-puing kota itu dibina semula oleh mereka dan pertahanannya diperkukuh.

63. Apabila mendengar hal itu, Bakhides mengumpulkan seluruh tenteranya dan juga mengerahkan para penyokongnya di Yudea.

64. Lalu dia pergi dan mengepung kota Bet-Basi. Berhari-hari kota itu diserangnya dengan alat-alat penggempur buatan sendiri.

65. Tetapi Yonatan meninggalkan Simon abangnya di dalam kota, sedangkan dia sendiri dengan beberapa orang sahaja keluar ke pedalaman.

1 Makabe 9