39. Mereka mengamat-amati jalan, lalu tampaklah iringan orang ramai yang membawa banyak barang. Pengantin laki-laki, sahabat-sahabatnya, dan sanak saudaranya keluar hendak menemui pihak pengantin wanita. Mereka membawa banyak kelengkapan senjata, dan diiringi orang yang bermain muzik dan memukul gendang.
40. Orang Yahudi menyerang rombongan itu dan membunuh banyak antara mereka. Yang lain melarikan diri ke pergunungan, sementara orang Yahudi merampas segala barang milik mereka.
41. Dengan demikian pesta perkahwinan itu berubah menjadi perkabungan dan lagu-lagu gembira menjadi ratapan.
42. Begitulah Yonatan dan Simon membalas kematian abang mereka. Lalu mereka kembali ke kawasan paya di tepi Sungai Yordan.
43. Bakhides mendengar khabar itu, lalu pada hari Sabat dia bersama-sama sepasukan tentera yang besar tiba di tepi Sungai Yordan.
44. Yonatan berkata kepada anak buahnya, “Sekarang kita harus bersiap-siap dan berjuang mati-matian. Belum pernah kita dalam keadaan segenting ini.
45. Musuh ada di depan dan di belakang kita. Di sebelah sini Sungai Yordan dan di sebelah sana paya dan semak belukar. Tidak ada jalan keluar bagi kita.
46. Berdoalah supaya Tuhan menyelamatkan kita daripada musuh.”
47. Lalu pertempuran bermula. Bakhides hampir dibunuh oleh Yonatan, tetapi dia mengelak.
48. Maka Yonatan dan anak buahnya melompat ke dalam Sungai Yordan dan berenang ke seberang. Tetapi musuh tidak menyeberang sungai untuk mengejar mereka.
49. Pada hari itu kira-kira 1,000 orang daripada tentera Bakhides gugur.
50. Selepas Bakhides kembali ke Yerusalem, dia mula membina kubu-kubu di berbagai-bagai kota di Yudea, iaitu di Yerikho, Emaus, Bet-Horon, Betel, Timnat, Faraton, dan Tefon. Kubu-kubu itu diperkuat dengan tembok-tembok yang tinggi, pintu gerbang dan palang pintu.
51. Di dalam kubu-kubu itu Bakhides menempatkan tentera untuk mengganggu orang Israel.
52. Dia juga memperkukuh pertahanan kota-kota Bet-Zur dan Gezer serta kubu di Yerusalem dan menempatkan sebuah pasukan tentera dan bekalan makanan di dalamnya.
53. Lalu dia mengambil anak-anak orang terkemuka di negeri itu dan menahan mereka di dalam kubu itu sebagai tawanan.
54. Dalam bulan dua tahun 153 Imam Agung Alkimus memberi perintah untuk merobohkan tembok di halaman Rumah Allah; dengan demikian dia akan memusnahkan pekerjaan yang dahulu dipimpin oleh para nabi. Tetapi kerja perobohan yang baru sahaja dimulakan,
55. terpaksa dihentikan oleh sebab Alkimus diserang penyakit. Badannya lumpuh dan dia tidak dapat membuka mulutnya untuk bercakap. Bahkan dia tidak dapat membuat wasiat untuk keluarganya.