1 Makabe 9:30-42 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

30. Jadi hari ini engkau kami pilih menjadi pengganti Yudas sebagai penguasa kami untuk memimpin kami berperang.”

31. Hari itu juga Yonatan menerima tugas menjadi pemimpin menggantikan abangnya.

32. Apabila Bakhides mendengar bahawa Yonatan sudah dijadikan pemimpin, dia berusaha untuk membunuhnya.

33. Maksud Bakhides itu ketahuan, lalu Yonatan dan Simon abangnya serta anak buahnya melarikan diri ke padang gurun Tekoa dan berkhemah dekat kolam Asfar. (

34. Bakhides mendengar hal itu pada hari Sabat, lalu dia dan seluruh tenteranya menyeberang Sungai Yordan.)

35. Yohanes abang Yonatan mengurus perlengkapan mereka yang banyak sekali. Dia diutus kepada orang Nabatai sahabat mereka, untuk meminta izin mengamanahkan barang-barang itu.

36. Tetapi Yohanes diserang dan ditawan oleh orang Yambri dari Madeba, dan semua barangnya dibawa lari.

37. Beberapa waktu kemudian Yonatan dan Simon mendengar bahawa orang Yambri akan merayakan suatu pesta perkahwinan secara besar-besaran. Mereka mahu menjemput pengantin wanita dari kota Nadabat dengan banyak pengiring. Pengantin wanita itu anak seorang Kanaan yang terkemuka.

38. Yonatan dan Simon ingin membalas kematian Yohanes abang mereka. Oleh itu mereka dan anak buah mereka pergi ke pergunungan dan bersembunyi di situ.

39. Mereka mengamat-amati jalan, lalu tampaklah iringan orang ramai yang membawa banyak barang. Pengantin laki-laki, sahabat-sahabatnya, dan sanak saudaranya keluar hendak menemui pihak pengantin wanita. Mereka membawa banyak kelengkapan senjata, dan diiringi orang yang bermain muzik dan memukul gendang.

40. Orang Yahudi menyerang rombongan itu dan membunuh banyak antara mereka. Yang lain melarikan diri ke pergunungan, sementara orang Yahudi merampas segala barang milik mereka.

41. Dengan demikian pesta perkahwinan itu berubah menjadi perkabungan dan lagu-lagu gembira menjadi ratapan.

42. Begitulah Yonatan dan Simon membalas kematian abang mereka. Lalu mereka kembali ke kawasan paya di tepi Sungai Yordan.

1 Makabe 9