3. Dalam bulan satu tahun 152 mereka berkhemah dekat Yerusalem.
4. Dari situ mereka menuju ke Berea dengan 20,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 2,000 orang pasukan berkuda.
5. Sementara itu Yudas berkhemah di Elasa dengan 3,000 orang askar pilihan.
6. Tetapi apabila melihat pasukan musuh yang sangat besar itu, mereka sangat ketakutan. Banyak tentera Yahudi menghilangkan diri dari perkhemahan, sehingga tinggal 800 orang askar sahaja.
7. Yudas melihat bahawa tenteranya semakin berkurangan, sedangkan pertempuran sudah hampir bermula. Hatinya cemas kerana tidak ada cukup masa untuk mengumpulkan mereka semula.
8. Meskipun berkecil hati, dia berkata kepada anak buahnya yang masih ada, “Marilah kita bersiap menyerang musuh. Mungkin kita masih dapat mengalahkan mereka.”
9. Tetapi anak buah Yudas berusaha untuk mencegah dia. Kata mereka, “Tak mungkin! Lebih baik kita mundur supaya selamat. Nanti kita kembali dengan saudara-saudara kita dan bertempur melawan musuh. Sekarang kita terlalu sedikit.”
10. Yudas menjawab, “Jangan sampai aku berbuat begitu dan melarikan diri dari medan perang. Kalau memang saat kita sudah tiba, biarlah kita mati dengan gagah berani untuk saudara-saudara kita. Tapi jangan kita cemarkan kehormatan kita.”
11. Lalu tentera Siria keluar mendatangi tentera Yahudi. Pasukan berkuda mereka dipisahkan menjadi dua bahagian. Para pemanah dan penghumban tali mendahului induk tentera, begitu juga pasukan penggempur yang semuanya gagah berani.
12. Bakhides sendiri mengambil tempat di bahagian kanan. Pasukan bergerak maju dari dua sisi, sementara trompet dibunyikan. Tentera Yudas juga meniup trompet.
13. Bumi bergegar kerana bunyi gegak gempita kedua-dua pasukan yang bertempur. Pertempuran berlangsung dari pagi hingga malam.
14. Yudas melihat bahawa Bakhides dan pasukan yang paling kuat ada di sebelah kanan. Maka dia dan anak buahnya yang paling berani
15. menggempur barisan kanan tentera Siria lalu mengejar mereka sehingga ke pergunungan Asdod.
16. Tetapi ketika barisan kiri pasukan Siria melihat bahawa barisan kanan mereka sudah diserang sehingga berundur, mereka membelok dan menyerang Yudas dan anak buahnya dari belakang.
17. Mereka bertempur dengan sengit, dan pada kedua-dua belah pihak banyak yang terkorban.
18. Akhirnya Yudas gugur dan anak buahnya melarikan diri.