1 Makabe 9:14-25 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

14. Yudas melihat bahawa Bakhides dan pasukan yang paling kuat ada di sebelah kanan. Maka dia dan anak buahnya yang paling berani

15. menggempur barisan kanan tentera Siria lalu mengejar mereka sehingga ke pergunungan Asdod.

16. Tetapi ketika barisan kiri pasukan Siria melihat bahawa barisan kanan mereka sudah diserang sehingga berundur, mereka membelok dan menyerang Yudas dan anak buahnya dari belakang.

17. Mereka bertempur dengan sengit, dan pada kedua-dua belah pihak banyak yang terkorban.

18. Akhirnya Yudas gugur dan anak buahnya melarikan diri.

19. Lalu jenazah Yudas diambil oleh Yonatan dan Simon saudaranya dan dikuburkan di makam nenek moyang mereka di Modein.

20. Dia ditangisi dan diratapi oleh seluruh Israel. Berhari- hari lamanya mereka berkabung dan berkata,

21. “Tak mungkin orang yang mampu menyelamatkan Israel gugur!”

22. Kisah-kisah lainnya tentang Yudas, semua pertempurannya, tindakan kepahlawanannya dan jasa-jasanya yang besar, tidak tercatat semuanya kerana terlalu banyak untuk ditulis.

23. Selepas Yudas meninggal, orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum muncul lagi di seluruh daerah Israel dan semua orang jahat juga kembali.

24. Pada masa itu negeri itu dilanda kebuluran hebat, dan rakyat mula memihak kepada kumpulan orang jahat itu.

25. Bakhides sendiri memilih dan mengangkat beberapa orang Yahudi yang derhaka untuk memimpin negeri itu.

1 Makabe 9