1 Makabe 8:3-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. Juga diceritakan kepadanya apa yang dilakukan oleh orang Roma di daerah Sepanyol untuk merebut lombong emas dan perak di sana.

4. Dengan siasat dan ketabahan hati mereka merebut seluruh negeri itu, biar pun letaknya sangat jauh dari Roma. Raja-raja yang datang dari jauh untuk berperang melawan mereka digempur dan menderita kekalahan besar, sedangkan yang hidup harus membayar cukai tahunan kepada mereka.

5. Filipus dan Raja Perseus raja Makedonia, dan semua orang lain yang memberontak terhadap Roma telah digempur dan ditakluk.

6. Bahkan Raja Antiokhus Agung, raja Asia Barat Daya yang menyerang mereka dengan 120 ekor gajah, pasukan berkuda, kereta kuda perang, dan tentera yang sangat kuat, dikalahkan juga.

7. Raja Antiokhus ditawan, lalu baginda dan pengganti-penggantinya diwajibkan membayar cukai yang berat. Selain itu baginda harus menyerahkan tawanan dan tanah, iaitu

8. India, Media, Lidia dan beberapa buah wilayah lain yang paling baik. Lalu semuanya diserahkan orang Roma kepada Raja Eumenes.

9. Ketika orang Yunani membuat rancangan untuk menyerang dan menumpaskan orang Roma,

10. rancangan itu ketahuan, dan seorang panglima Roma dikirim untuk memerangi mereka. Banyak orang Yunani cedera, anak isteri mereka ditawan, milik mereka dirampas, negeri mereka diduduki, kubu-kubu mereka dirobohkan, dan mereka sendiri diperhamba hingga hari ini.

11. Kerajaan-kerajaan lain dan semua pulau yang pernah melawan mereka dimusnahkan dan penduduknya diperhamba.

12. Tetapi negara-negara yang bersahabat dengan mereka atau mengharapkan perlindungan pada mereka tetap diperlakukan sebagai sahabat.

13. Mereka menakluk banyak kerajaan yang dekat dan juga yang jauh. Sesiapa sahaja yang mendengar tentang perbuatan mereka menjadi takut. Ada orang yang dibantu menjadi raja, dan ada raja yang digulingkan oleh mereka. Mereka sudah mencapai puncak kekuasaan.

14. Biar pun begitu, antara orang Roma tidak ada seorang pun yang mahu meninggikan kedudukannya dengan menobatkan diri sebagai raja.

15. Mereka membentuk Dewan Negara, dan setiap hari 320 orang anggota dewan itu berkumpul untuk membincangkan hal ehwal dan kepentingan rakyat supaya ditadbir dengan baik.

16. Setiap tahun mereka memilih seorang yang diserahi tugas memerintah mereka serta mengawasi seluruh wilayah mereka. Dia ditaati oleh semua orang, dan antara mereka tidak ada rasa cemburu atau iri hati.

17. Lalu Yudas memilih Eupolemus anak Yohanes cucu Akos dan Yason anak Eleazar. Kedua-dua orang itu dikirimnya ke Roma untuk mengadakan perjanjian perikatan dan persahabatan dengan orang Roma.

18. Hal itu dilakukannya supaya mereka dapat melepaskan diri daripada penindasan orang Siria yang memperhamba orang Yahudi.

19. Sesudah menempuh perjalanan yang jauh, Eupolemus dan Yason tiba di Roma, lalu menghadap Dewan Negara. Mereka menyampaikan kata-kata ini kepada persidangan itu,

20. “Yudas Makabe, saudara-saudaranya dan seluruh bangsa Yahudi mengutus kami ke sini untuk mengadakan perikatan dan perdamaian, supaya kami dengan rasminya dicatat sebagai sahabat dan sekutu tuan-tuan.”

1 Makabe 8