1 Makabe 7:5-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Kemudian semua orang Israel yang telah mengkhianati Allah menghadap Demetrius. Mereka dipimpin oleh Alkimus yang ingin menjadi Imam Agung.

6. Di hadapan raja mereka menuduh bangsa mereka sendiri. Kata mereka, “Yudas dan saudara-saudaranya sudah membunuh semua orang yang menyokong tuanku. Kami pun diusir dari negeri kami.

7. Sudilah kiranya tuanku mengirim seorang yang dapat dipercayai untuk memeriksa kerugian yang telah didatangkannya terhadap kami dan terhadap wilayah tuanku, lalu menghukum Yudas, saudara-saudaranya, dan semua orang yang membantu mereka.”

8. Lalu Demetrius memilih seorang sahabat baginda yang bernama Bakhides, gabenor Siria Besar. Dia orang yang paling penting dalam kerajaan dan setia kepada raja.

9. Bakhides diutus bersama dengan Alkimus, orang jahat yang telah diberi jawatan Imam Agung oleh raja. Mereka diperintahkan untuk membalas dendam terhadap orang Yahudi.

10. Mereka meninggalkan Antiokhia dengan pasukan yang besar, lalu tiba di Yudea. Bakhides mengirim beberapa orang utusan yang dengan tipu muslihat mengajukan usul perdamaian kepada Yudas dan saudara-saudaranya.

11. Tetapi apabila Yudas melihat tentera mereka yang besar, dia tidak percaya akan apa yang dikatakan para utusan itu.

12. Sekelompok ahli Taurat Musa menemui Alkimus dan Bakhides untuk meminta keadilan.

13. Semua orang salih itu orang Yahudi pertama yang berusaha untuk berdamai dengan Alkimus dan Bakhides.

14. Mereka berfikir, “Alkimus imam keturunan Harun telah datang bersama-sama pasukan itu. Dia tak akan berbuat jahat terhadap kita.”

15. Bakhides juga bercakap ramah dengan mereka. Bahkan dia bersumpah, “Kami tak bermaksud jahat terhadap saudara-saudara dan sahabat-sahabat saudara.”

16. Tetapi setelah mendapat kepercayaan mereka, dia menangkap 60 orang daripada mereka. Mereka semua dibunuh pada hari yang sama, seperti tertulis dalam Alkitab,

17. “Darah orang salih ditumpahkan, dan mayat mereka berselerak di sekeliling Yerusalem, dan tidak ada sesiapa pun yang menguburkan mereka.”

18. Sesudah kejadian itu Alkimus dan Bakhides sangat ditakuti oleh seluruh rakyat. Mereka berkata, “Kedua-dua orang itu tak tahu apa makna kebenaran dan keadilan. Mereka memberi jaminan dengan bersumpah dan kemudian mengingkari sumpah mereka sendiri.”

19. Kemudian Bakhides meninggalkan Yerusalem dan mendirikan perkhemahan di Betzeta. Dia memberi arahan untuk menangkap banyak orang Yahudi dan juga orang yang memihak kepadanya serta sejumlah orang daripada kalangan rakyat dan memerintahkan supaya mereka semua dibunuh dan dibuang ke perigi yang dalam.

20. Lalu Bakhides melantik Alkimus untuk memimpin wilayah itu. Dia juga meninggalkan pasukan-pasukan untuk membantu Alkimus, dan dia sendiri kembali kepada raja.

21. Kemudian Alkimus mula memperjuangkan kedudukannya sebagai Imam Agung.

22. Dia disokong oleh semua orang Yahudi yang suka mengacau bangsanya. Mereka berjaya menguasai negeri Yudea dan mendatangkan banyak kesulitan kepada orang Yahudi.

23. Yudas menyedari bahawa kejahatan yang dilakukan Alkimus dan pengikut-pengikutnya lebih besar daripada yang dilakukan oleh orang asing.

24. Maka dia pergi menjelajah seluruh negeri Yudea untuk membalas dendam terhadap orang yang berpihak kepada kepada musuh. Dengan demikian mereka dihalang daripada meninggalkan kota-kota dan keluar ke daerah pedalaman.

1 Makabe 7