1 Makabe 7:27-45 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Nikanor tiba di Yerusalem dengan pasukan yang besar. Dengan tipu daya dia menyampaikan usul perdamaian kepada Yudas dan saudara-saudaranya. Katanya,

28. “Janganlah ada peperangan antara tuan dan saya. Saya akan datang dengan beberapa orang saja untuk mengadakan kunjungan persahabatan dengan tuan.”

29. Maka datanglah Nikanor kepada Yudas dan mereka bersalam-salaman dengan ramah. Tetapi musuh-musuh Yudas sudah bersiap-siap untuk menculik Yudas.

30. Ketika Yudas mendapat tahu bahawa Nikanor datang dengan tipu muslihat, dia menjadi takut dan tidak mahu lagi bertemu dengan Nikanor.

31. Nikanor sedar bahawa rancangannya sudah diketahui. Maka dia pergi untuk bertempur melawan Yudas dekat Kafarsalama.

32. Lebih kurang 500 orang Nikanor gugur, sedangkan yang lain melarikan diri ke kubu di Yerusalem.

33. Beberapa waktu kemudian Nikanor pergi ke Bukit Sion. Beberapa orang antara imam-imam dan kaum tua-tua keluar dari Rumah Allah untuk menyambutnya dengan ramah. Mereka menunjukkan korban-korban yang dipersembahkan bagi raja, kepada mereka. Korban-korban itu adalah korban untuk menyenangkan hati Tuhan.

34. Tetapi Nikanor mencemuh, mentertawakan, dan mencela mereka. Dia bercakap dengan bongkak

35. dan bersumpah dengan marah, “Kalau kali ini Yudas dan tenteranya tidak diserahkan kepadaku, Rumah ini akan kubakar sama sekali, segera sesudah aku kembali dengan selamat.” Lalu dia pergi dengan berang.

36. Kemudian para imam masuk ke halaman dan berdiri di hadapan mazbah dan Rumah Allah. Sambil menangis mereka berdoa,

37. “Ya Tuhan, Rumah ini sudah Kaupilih supaya menjadi milik-Mu sendiri dan menjadi rumah doa dan permohonan bagi umat-Mu.

38. Sudilah Engkau membalas kejahatan orang itu dan tenteranya. Ingatlah bagaimana mereka mengkufuri Engkau. Jangan biarkan mereka tetap hidup, tetapi biarlah mereka mati dalam pertempuran.”

39. Nikanor meninggalkan Yerusalem dan berkhemah di Bet-Horon. Di situ tentera Siria bergabung dengan dia.

40. Sementara itu Yudas berkhemah di Adasa dengan 3,000 orang. Lalu Yudas berdoa begini,

41. “Ya Tuhan, ketika utusan raja Asyur mengkufuri Engkau, malaikat-Mu tampil dan membunuh 185,000 orang daripada pasukannya.

42. Begitu juga, hendaklah Engkau menumpaskan tentera ini pada hari ini, supaya semua orang tahu bahawa Nikanor menghina Rumah-Mu yang suci. Hukumlah dia setimpal dengan kejahatannya.”

43. Pertempuran berlaku pada tarikh tiga belas bulan Adar, dan tentera Nikanor dikalahkan. Nikanor sendiri orang pertama yang gugur dalam pertempuran.

44. Ketika tenteranya melihat bahawa Nikanor sudah mati, mereka melemparkan senjata mereka dan melarikan diri.

45. Orang Yahudi mengejar mereka sepanjang hari dari kota Adasa sehingga ke kota Gezer sambil meniup trompet.

1 Makabe 7