14. Mereka berfikir, “Alkimus imam keturunan Harun telah datang bersama-sama pasukan itu. Dia tak akan berbuat jahat terhadap kita.”
15. Bakhides juga bercakap ramah dengan mereka. Bahkan dia bersumpah, “Kami tak bermaksud jahat terhadap saudara-saudara dan sahabat-sahabat saudara.”
16. Tetapi setelah mendapat kepercayaan mereka, dia menangkap 60 orang daripada mereka. Mereka semua dibunuh pada hari yang sama, seperti tertulis dalam Alkitab,
17. “Darah orang salih ditumpahkan, dan mayat mereka berselerak di sekeliling Yerusalem, dan tidak ada sesiapa pun yang menguburkan mereka.”
18. Sesudah kejadian itu Alkimus dan Bakhides sangat ditakuti oleh seluruh rakyat. Mereka berkata, “Kedua-dua orang itu tak tahu apa makna kebenaran dan keadilan. Mereka memberi jaminan dengan bersumpah dan kemudian mengingkari sumpah mereka sendiri.”
19. Kemudian Bakhides meninggalkan Yerusalem dan mendirikan perkhemahan di Betzeta. Dia memberi arahan untuk menangkap banyak orang Yahudi dan juga orang yang memihak kepadanya serta sejumlah orang daripada kalangan rakyat dan memerintahkan supaya mereka semua dibunuh dan dibuang ke perigi yang dalam.
20. Lalu Bakhides melantik Alkimus untuk memimpin wilayah itu. Dia juga meninggalkan pasukan-pasukan untuk membantu Alkimus, dan dia sendiri kembali kepada raja.
21. Kemudian Alkimus mula memperjuangkan kedudukannya sebagai Imam Agung.
22. Dia disokong oleh semua orang Yahudi yang suka mengacau bangsanya. Mereka berjaya menguasai negeri Yudea dan mendatangkan banyak kesulitan kepada orang Yahudi.
23. Yudas menyedari bahawa kejahatan yang dilakukan Alkimus dan pengikut-pengikutnya lebih besar daripada yang dilakukan oleh orang asing.
24. Maka dia pergi menjelajah seluruh negeri Yudea untuk membalas dendam terhadap orang yang berpihak kepada kepada musuh. Dengan demikian mereka dihalang daripada meninggalkan kota-kota dan keluar ke daerah pedalaman.
25. Alkimus melihat bahawa Yudas dan anak buahnya bertambah kuat, dan dia sedar bahawa dia tidak dapat bertahan terhadap mereka. Maka dia kembali kepada raja untuk mengadukan kejahatan mereka.
26. Kemudian raja mengutus Nikanor, salah seorang panglimanya yang terkemuka, yang membenci dan memusuhi orang Yahudi. Raja memerintahkan dia untuk menumpas bangsa itu.
27. Nikanor tiba di Yerusalem dengan pasukan yang besar. Dengan tipu daya dia menyampaikan usul perdamaian kepada Yudas dan saudara-saudaranya. Katanya,
28. “Janganlah ada peperangan antara tuan dan saya. Saya akan datang dengan beberapa orang saja untuk mengadakan kunjungan persahabatan dengan tuan.”