49. Lalu raja mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi di Bet-Zur. Kebetulan tahun itu tahun Sabat, dan mereka tidak boleh menanami ladang. Jadi persediaan makanan mereka tidak cukup untuk dapat bertahan dalam pengepungan yang lama. Maka mereka terpaksa meninggalkan kota.
50. Dengan demikian kota Bet-Zur direbut oleh raja. Baginda menempatkan sebuah pasukan tentera untuk menjaga tempat itu.
51. Berhari-hari lamanya baginda mengepung Rumah Allah. Baginda menyuruh orang membuat menara-menara pengepungan dan kayu-kayu pelantak, api dan batu, pelempar anak panah dan batu.
52. Orang Yahudi juga membuat senjata untuk menangkis senjata musuh. Pertempuran itu berlangsung lama sekali.
53. Persediaan makanan di Rumah Allah sudah habis, kerana tahun itu tahun Sabat. Sisa makanan pun sudah dihabiskan oleh orang Yahudi yang berlindung diri di Yudea daripada bangsa lain.
54. Oleh sebab bencana kelaparan itu orang terpaksa berpencar ke tempat masing-masing, dan hanya sedikit orang yang tinggal di Rumah Allah.
55-56. Sementara itu Lisias mendengar bahawa Filipus dengan tentera kerajaan sudah kembali dari Persia dan Media. Filipus telah ditugaskan oleh Raja Antiokhus semasa hidupnya untuk mengasuh Antiokhus putera baginda sehingga menjadi raja. Lisias juga mendengar bahawa Filipus berusaha untuk merebut kuasa.
57. Maka Lisias memerintahkan untuk segera berangkat. Dia berkata kepada raja, para panglima, dan anak buahnya, “Kita semakin hari semakin lemah. Perbekalan kita tinggal sedikit dan tempat yang kita kepung ini sangat kuat. Selain itu ada urusan negara yang sangat mendesak.
58. Kerana itu baiklah kita berdamai sahaja dengan orang Yahudi dan seluruh bangsa mereka.
59. Biarlah kita izinkan mereka hidup menurut hukum mereka sendiri seperti dahulu. Justeru kerana kita menghapuskan hukum dan adat mereka, kita menimbulkan kemarahan mereka sehingga mereka melakukan semua itu.”
60. Usul itu disetujui oleh raja dan para panglima baginda. Maka Lisias mengajukan usul perdamaian kepada orang Yahudi, dan mereka menerimanya.
61. Kemudian raja dan para panglima mengangkat sumpah bahawa mereka akan memegang janji mereka. Oleh itu orang Yahudi keluar dari kubu.