1 Makabe 6:40-57 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

40. Sebahagian daripada bala tentera raja tersebar di lereng gunung dan sebahagian lagi di dataran rendah, tetapi mereka semua mara dengan terarah dan teratur.

41. Semua orang takut dan gempar mendengar teriakan, bunyi senjata yang gemerencing, dan derap kaki tentera yang besar dan kuat itu.

42. Lalu Yudas dan pasukannya mara ke medan pertempuran dan membunuh 600 orang tentera raja.

43. Seorang bernama Eleazar Avaran tiba-tiba melihat seekor gajah yang lebih besar daripada yang lain dan dilengkapi dengan baju perang kerajaan. Dia menyangka gajah itu dikendarai oleh raja.

44-46. Dengan berani dia lari menuju gajah yang di tengah-tengah pasukan tentera berjalan kaki. Sementara mara, dia membunuh askar-askar di kiri kanannya sehingga musuh mundur dari kedua-dua sisinya. Lalu dia menyusup di bawah gajah itu dan menikamnya sehingga mati. Gajah itu rebah ke tanah tepat di atas Eleazar sehingga dia pun gugur. Begitulah Eleazar mengorbankan hidupnya untuk menyelamatkan bangsanya dan untuk mendapat nama harum yang abadi.

47. Tetapi orang Yahudi melihat bahawa tentera raja sangat kuat dan bertekad untuk berperang. Oleh itu tentera Yahudi mengundur diri.

48. Kemudian tentera raja mara ke Yerusalem untuk menyerang orang Yahudi di sana. Mereka memerangi seluruh daerah Yudea dan Yerusalem.

49. Lalu raja mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi di Bet-Zur. Kebetulan tahun itu tahun Sabat, dan mereka tidak boleh menanami ladang. Jadi persediaan makanan mereka tidak cukup untuk dapat bertahan dalam pengepungan yang lama. Maka mereka terpaksa meninggalkan kota.

50. Dengan demikian kota Bet-Zur direbut oleh raja. Baginda menempatkan sebuah pasukan tentera untuk menjaga tempat itu.

51. Berhari-hari lamanya baginda mengepung Rumah Allah. Baginda menyuruh orang membuat menara-menara pengepungan dan kayu-kayu pelantak, api dan batu, pelempar anak panah dan batu.

52. Orang Yahudi juga membuat senjata untuk menangkis senjata musuh. Pertempuran itu berlangsung lama sekali.

53. Persediaan makanan di Rumah Allah sudah habis, kerana tahun itu tahun Sabat. Sisa makanan pun sudah dihabiskan oleh orang Yahudi yang berlindung diri di Yudea daripada bangsa lain.

54. Oleh sebab bencana kelaparan itu orang terpaksa berpencar ke tempat masing-masing, dan hanya sedikit orang yang tinggal di Rumah Allah.

55-56. Sementara itu Lisias mendengar bahawa Filipus dengan tentera kerajaan sudah kembali dari Persia dan Media. Filipus telah ditugaskan oleh Raja Antiokhus semasa hidupnya untuk mengasuh Antiokhus putera baginda sehingga menjadi raja. Lisias juga mendengar bahawa Filipus berusaha untuk merebut kuasa.

57. Maka Lisias memerintahkan untuk segera berangkat. Dia berkata kepada raja, para panglima, dan anak buahnya, “Kita semakin hari semakin lemah. Perbekalan kita tinggal sedikit dan tempat yang kita kepung ini sangat kuat. Selain itu ada urusan negara yang sangat mendesak.

1 Makabe 6