4. Mereka memberi perlawanan terhadapnya sehingga baginda lari dan pulang ke Babel dengan kesal hati.
5. Ketika Raja Antiokhus masih di Persia, seorang utusan datang kepadanya dan mengkhabarkan bahawa pasukan-pasukan yang dikirimnya ke Yudea dikalahkan.
6. Khususnya berita bahawa Lisias dengan pasukannya yang kuat terpaksa melarikan diri daripada orang Yahudi yang bertambah kuat kerana senjata, perlengkapan, dan barang jarahan yang diambil oleh mereka daripada pasukan-pasukan yang dikalahkan mereka.
7. Orang Yahudi juga sudah membongkar apa yang disebut oleh mereka “Bencana Yang Dahsyat” yang didirikan oleh Raja Antiokhus di atas mazbah di Yerusalem. Di sekeliling Rumah Tuhan telah didirikan tembok yang tinggi seperti dahulu. Kota Bet-Zur, salah sebuah kota raja, juga ditawan dan diperkuat.
8. Apabila mendengar laporan itu, raja terperanjat dan menderita kekejutan sehingga gering. Baginda sangat sakit hati oleh sebab semuanya tidak terjadi seperti yang dirancang oleh baginda.
9. Lama sekali baginda berbaring di situ, kerana terus terombang-ambing oleh rasa murung yang mencekam. Akhirnya baginda sedar bahawa ajalnya sudah tiba.
10. Maka baginda memanggil semua sahabat baginda dan bertitah kepada mereka, “Beta tak dapat beradu dan hati beta tertekan kerana cemas.
11. Semula beta bertanya pada diri sendiri mengapa beta ditimpa kesukaran yang bertubi-tubi ini, padahal selama pemerintahan beta, beta baik hati dan disukai orang.
12. Tapi sekarang beta teringat akan segala kejahatan yang beta lakukan di Yerusalem, dengan merampas barang-barang emas dan perak dari Rumah Allah dan tanpa alasan menyuruh menumpas penduduk Yudea.
13. Beta insaf bahawa itulah sebabnya beta ditimpa malapetaka ini. Sekarang beta akan mangkat dengan sangat sedih di negeri asing.”
14. Lalu baginda memanggil Filipus, seorang sahabat baginda, dan melantiknya menjadi pemerintah seluruh kerajaan.
15. Baginda menyerahkan mahkota kerajaan, jubah, dan cincin meterai baginda kepada Filipus dengan pesan supaya Filipus mengasuh dan mendidik Antiokhus putera baginda supaya kelak menjadi raja.
16. Maka mangkatlah Raja Antiokhus yang Keempat di situ dalam tahun 149.
17. Ketika Lisias mendengar bahawa raja sudah mangkat, dia mengangkat Antiokhus yang muda menjadi raja. Sejak kecil baginda telah diasuh oleh Lisias. Sekarang baginda diberi nama Eupator.
18. Sementara itu askar di dalam kubu di Yerusalem menutup jalan bagi orang Israel di sekeliling Rumah Allah. Tidak henti-hentinya mereka menyusahkan orang Israel dan menyokong orang asing.
19. Oleh itu Yudas memutuskan untuk menumpaskan mereka. Dia mengumpulkan seluruh rakyat untuk mengepung kubu itu.
20. Mereka berkumpul dan mengepung kubu itu dalam tahun 150. Mereka membuat menara-menara pengepungan dan kayu-kayu pelantak.