1 Makabe 6:23-37 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

23. Kami sudah mengabdi kepada ayahanda tuanku dengan sukarela, menuruti semua titah baginda dan mentaati semua perintah baginda.

24. Tapi justeru kerana hal itu kami dimusuhi oleh orang sebangsa kami, dan kubu kami dikepung. Bahkan mereka membunuh siapa sahaja daripada kalangan kami yang ditemui mereka, dan mereka menyita milik kami.

25. Lagi pula bukan kami saja yang diserang oleh mereka, tetapi juga daerah di sekeliling mereka.

26. Sekarang mereka telah mengepung kubu di Yerusalem untuk merebutnya. Mereka juga telah memperkuat Rumah Allah dan kota Bet-Zur.

27. Kalau tuanku tidak menghalang mereka dengan segera, mereka akan berbuat lebih banyak lagi, dan tuanku tak akan dapat menghalang mereka.”

28. Apabila mendengar hal itu raja menjadi murka. Baginda mengumpulkan semua sahabat, para panglima tentera, dan pegawai pasukan berkuda.

29. Baginda juga mengupah sejumlah besar pasukan daripada kerajaan-kerajaan lain dan dari pulau-pulau di Laut Tengah.

30. Jumlah bala tentera baginda bertambah menjadi 100,000 orang bagi pasukan tentera berjalan kaki, 20,000 orang bagi pasukan berkuda, dan 32 ekor gajah yang terlatih untuk bertempur.

31. Mereka melalui daerah Idumea dan mengepung kota Bet-Zur. Mereka membuat kayu-kayu pelantak dan berhari-hari lamanya bertempur di situ. Tetapi penduduk kota yang dikepung itu bertempur dengan gagah berani. Mereka keluar dari kota dan membakar kayu-kayu pelantak itu.

32. Kemudian Yudas menarik pasukan-pasukannya dari kubu di Yerusalem dan berkhemah di Bet-Zakarya berhadapan dengan tentera raja.

33. Pada hari esoknya pagi-pagi lagi, raja memerintahkan tentera baginda untuk serentak berangkat menuju Bet-Zakarya. Lalu barisan siap tempur disusun dan trompet dibunyikan.

34. Gajah-gajah disiapkan untuk pertempuran dengan menunjukkan air buah anggur dan air buah strawberi kepada mereka.

35. Binatang-binatang besar itu ditempatkan di antara barisan perang. Setiap gajah diiringi 500 orang pilihan daripada pasukan berkuda dan 1,000 orang yang memakai baju zirah berantai dan topi gangsa.

36. Pasukan itu harus mengambil tempat di hadapan gajah. Ke mana sahaja gajah itu pergi, mereka mesti mengikutnya dan tidak boleh meninggalkannya.

37. Sebuah menara kayu yang kukuh dipasang dengan alat-alat khas di atas belakang setiap gajah. Menara itu merupakan tempat perlindungan bagi seorang pawang dan empat orang askar yang mengendarainya.

1 Makabe 6