30. Pada waktu fajar menyingsing, Yudas dan anak buahnya melihat pasukan yang amat besar menyerang kubu itu. Mereka sedang memasang tangga-tangga dan kayu-kayu pelantak untuk menyerang orang Yahudi di dalam kubu.
31. Apabila mendengar keriuhan, teriakan, dan bunyi trompet dari kota, Yudas sedar bahawa pertempuran sudah bermula.
32. Dia berkata kepada anak buahnya, “Hari ini kamu harus bertempur untuk saudara-saudara kita!”
33. Lalu Yudas membentuk tiga pasukan dan menyerang musuh dari belakang. Sambil mara, mereka meniup trompet dan menyerukan doa-doa.
34. Ketika pasukan yang dipimpin Timotius melihat bahawa itu Yudas Makabe, mereka melarikan diri dan menderita kekalahan besar. Pada hari itu lebih kurang 8,000 orang binasa.
35. Kemudian Yudas membelok untuk menyerang kota Maafa. Kota itu ditawannya, dan semua penduduk lelaki dibunuh. Lalu kota itu dijarah dan dibakar sehingga habis.
36. Setelah berangkat dari situ, direbutnya kota Kafso, Maked, Beser, dan kota-kota lain di daerah Gilead.
37. Selepas itu Timotius mengumpulkan satu pasukan lain dan berkhemah berhadapan dengan kota Rafon di seberang sungai.
38. Yudas menyuruh beberapa orang untuk mengintip perkhemahan itu. Setelah kembali, mereka membuat laporan kepadanya, “Semua bangsa asing di sekitar kita sudah bergabung dengan Timotius dan bersama-sama membentuk pasukan yang besar.
39. Orang Arab juga diupah untuk memperkuat pasukan. Mereka berkhemah di seberang sungai, siap untuk menyerang kita.” Maka majulah Yudas untuk bertempur melawan mereka.
40. Sementara Yudas dan anak buahnya mendekati sungai, Timotius berkata kepada para pegawai tenteranya, “Kalau dia menyeberang lebih dahulu, kita tidak dapat bertahan, oleh sebab kita pasti dikalahkan olehnya.
41. Tetapi kalau dia takut dan berkhemah di seberang sana, kita akan menyeberang dan mengalahkan dia.”
42. Ketika Yudas tiba di sungai, dia menempatkan pegawai-pegawai khas di tepi sungai dan memerintahkan mereka, “Jangan izinkan seorang pun berhenti. Semua harus mara bertempur!”
43. Yudas sendiri yang pertama menyeberang untuk melawan musuh, dan seluruh anak buahnya ikut di belakangnya. Orang asing di situ digempur di hadapannya. Mereka membuang senjata mereka dan melarikan diri ke kuil di Karnain.
44. Tetapi Yudas dan anak buahnya menawan kota itu dan membakar kuil dengan semua orang yang ada di dalamnya. Lalu kota itu ditumpaskan sama sekali, dan selanjutnya bangsa-bangsa asing tidak dapat lagi memberi perlawanan terhadap Yudas.
45. Kemudian Yudas mengumpulkan semua orang Yahudi yang tinggal di Gilead untuk menghantar mereka ke Yudea. Jumlah mereka besar sekali, orang dewasa dengan anak isteri dan semua milik mereka.
46. Mereka tiba di Efron, kota yang besar dan sangat kukuh, yang terletak di sela gunung. Tidak ada jalan di kiri atau kanannya. Satu-satunya jalan adalah melalui kota itu.
47. Tetapi penduduknya tidak mahu mengizinkan orang Yahudi lalu. Mereka menutup pintu gerbang dan merintanginya dengan batu.
48. Yudas mengirim pesan persahabatan kepada mereka, katanya, “Kami dalam perjalanan pulang ke negeri kami. Izinkanlah kami melalui daerah kamu. Tidak seorang pun akan mengganggu kamu; kami hanya ingin lalu.” Tetapi penduduk kota itu tidak mahu membuka pintu gerbang.