1 Makabe 5:27-39 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Ada lagi orang yang terkurung di kota-kota lain di Gilead. Mereka melaporkan juga bahawa musuh bermaksud mengadakan serangan terhadap kubu-kubu itu pada hari esoknya, dengan harapan dapat menangkap dan menumpas semua orang Yahudi dalam waktu satu hari sahaja.

28. Oleh itu Yudas dan pasukannya segera membelok dan berjalan melalui padang gurun ke Bozra. Kota itu ditawannya dan setiap orang lelaki dibunuh. Sesudah dirampasi, kota itu dibakar sehingga habis.

29. Kemudian mereka berangkat dan sepanjang malam berjalan ke kubu Datema.

30. Pada waktu fajar menyingsing, Yudas dan anak buahnya melihat pasukan yang amat besar menyerang kubu itu. Mereka sedang memasang tangga-tangga dan kayu-kayu pelantak untuk menyerang orang Yahudi di dalam kubu.

31. Apabila mendengar keriuhan, teriakan, dan bunyi trompet dari kota, Yudas sedar bahawa pertempuran sudah bermula.

32. Dia berkata kepada anak buahnya, “Hari ini kamu harus bertempur untuk saudara-saudara kita!”

33. Lalu Yudas membentuk tiga pasukan dan menyerang musuh dari belakang. Sambil mara, mereka meniup trompet dan menyerukan doa-doa.

34. Ketika pasukan yang dipimpin Timotius melihat bahawa itu Yudas Makabe, mereka melarikan diri dan menderita kekalahan besar. Pada hari itu lebih kurang 8,000 orang binasa.

35. Kemudian Yudas membelok untuk menyerang kota Maafa. Kota itu ditawannya, dan semua penduduk lelaki dibunuh. Lalu kota itu dijarah dan dibakar sehingga habis.

36. Setelah berangkat dari situ, direbutnya kota Kafso, Maked, Beser, dan kota-kota lain di daerah Gilead.

37. Selepas itu Timotius mengumpulkan satu pasukan lain dan berkhemah berhadapan dengan kota Rafon di seberang sungai.

38. Yudas menyuruh beberapa orang untuk mengintip perkhemahan itu. Setelah kembali, mereka membuat laporan kepadanya, “Semua bangsa asing di sekitar kita sudah bergabung dengan Timotius dan bersama-sama membentuk pasukan yang besar.

39. Orang Arab juga diupah untuk memperkuat pasukan. Mereka berkhemah di seberang sungai, siap untuk menyerang kita.” Maka majulah Yudas untuk bertempur melawan mereka.

1 Makabe 5