1 Makabe 5:13-23 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Semua lelaki Yahudi yang tinggal di wilayah Tob sudah dibunuh. Anak isteri mereka diangkut sebagai tawanan dan milik mereka dibawa pergi. Kira-kira seribu orang kami sudah ditumpaskan di sana.”

14. Belum habis lagi surat itu dibaca, tiba-tiba datang utusan-utusan lain membawa laporan dari Galilea. Pakaian mereka koyak rabak menandakan kesedihan.

15. Kata mereka, “Pasukan besar orang Ptolemais, Tirus, Sidon, dan semua orang asing yang tinggal di Galilea sudah berkumpul untuk membinasakan kami.”

16. Apabila mendengar semua itu, Yudas dan rakyat mengadakan persidangan raksasa untuk memutuskan bagaimana menolong saudara mereka yang ditimpa kesukaran besar kerana serangan musuh.

17. Kata Yudas kepada Simon abangnya, “Pilihlah sejumlah orang dan pergilah membebaskan saudara-saudara kita di Galilea. Saya dan Yonatan adik kita akan pergi ke Gilead.”

18. Lalu Yudas meninggalkan pasukannya yang lain untuk menjaga daerah Yudea. Azarya dan Yusuf anak Zakarya ditugaskan untuk memimpin rakyat.

19. Kata Yudas kepada mereka, “Kamu berdua kujadikan pemimpin rakyat, tetapi jangan pergi berperang melawan orang asing sebelum kami kembali.”

20. Lalu tiga ribu orang askar diserahkan kepada Simon untuk pergi ke Galilea, dan lapan ribu orang askar diserahkan kepada Yudas untuk pergi ke Gilead.

21. Kemudian Simon berangkat ke Galilea dan mengadakan banyak pertempuran dengan orang asing di sana. Dia mengalahkan

22. dan mengejar mereka sehingga ke kota Ptolemais. Lebih kurang 3,000 orang askar musuh dibunuh dan dirompak.

23. Lalu orang Yahudi yang tinggal di Galilea dan Arbata, berserta anak isteri dan harta benda mereka, dibawa oleh Simon ke Yudea dengan kegembiraan besar.

1 Makabe 5