1 Makabe 4:45-57 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

45. Lalu mereka mendapat ilham baik untuk membongkarnya supaya mereka tidak dihina kerananya, oleh sebab mazbah itu sudah dicemarkan oleh orang asing. Maka mazbah itu dibongkar oleh mereka,

46. dan batu-batunya diletakkan di tempat yang sesuai di bukit Rumah Allah. Sementara itu mereka menunggu seorang nabi yang akan memberi keputusan tentang batu-batu itu.

47. Lalu sesuai dengan Taurat Musa, mereka mengambil batu-batu yang tidak dipahat dan mendirikan sebuah mazbah baru seperti yang lama.

48. Sesudah itu Rumah Allah diperbaiki, dan bahagian dalam serta halamannya ditahbiskan semula.

49. Mereka membuat perkakas baru untuk ibadat. Kaki pelita, mazbah untuk kemenyan, dan meja untuk roti sajian dibawa masuk ke dalam Rumah Allah.

50. Kemudian kemenyan dibakar di atas mazbah, dan pelita-pelita di atas kaki pelita itu dinyalakan sehingga Rumah Allah menjadi terang.

51. Roti sajian diletakkan di atas meja dan tirai dipasang. Maka selesailah semua pekerjaan itu.

52-54. Tarikh dua puluh lima bulan Kislew, iaitu bulan kesembilan, tahun 148 adalah hari ulang tahun mazbah dicemarkan oleh orang asing. Pada hari itu juga, di atas mazbah yang baru, korban yang sesuai dengan Taurat Musa dipersembahkan. Mereka mentahbiskan mazbah yang baru sambil menyanyikan lagu-lagu dengan iringan gambus, kecapi, dan canang.

55. Seluruh rakyat sujud menyembah serta memuji Tuhan yang telah memberi mereka kemenangan.

56. Selama lapan hari mereka merayakan pentahbisan mazbah. Dengan gembira mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan, korban untuk memohon berkat Tuhan, dan korban untuk mengucap syukur kepada Tuhan.

57. Bahagian hadapan Rumah Tuhan dihias dengan hiasan emas dan perisai-perisai. Pintu-pintu gerbang dibina semula, bilik-bilik para imam diperbaharui dan pintu-pintunya dipasang.

1 Makabe 4