36. Yudas dan saudara-saudaranya berkata, “Musuh kita sudah ditumpaskan. Mari kita ke Yerusalem untuk membersihkan Rumah Allah dan mentahbiskannya semula.”
37. Lalu seluruh tentera pergi bersama-sama ke Bukit Sion.
38. Mereka mendapati Rumah Allah ditinggalkan kosong, mazbah tercemar, dan pintu gerbang terbakar. Halaman sudah ditumbuhi semak belukar seperti di hutan atau di gunung. Bilik-bilik para imam sudah roboh.
39. Lalu mereka mengoyak pakaian mereka kerana sedih, menangis dengan nyaring, dan menaburkan abu di atas kepala.
40. Mereka meniarap di tanah, dan ketika terdengar semboyan trompet, setiap orang berseru kepada Tuhan.
41. Kemudian Yudas menyuruh askarnya menyerang orang yang ada di dalam kubu, sementara dia membersihkan Rumah Allah.
42. Dia memilih imam-imam yang layak dan yang setia kepada Taurat.
43. Mereka membersihkan Rumah Allah, mengambil batu-batu yang dicemarkan dan meletaknya di tempat yang najis.
44. Mereka berunding tentang apa yang harus dilakukan terhadap mazbah yang sudah dicemarkan. Mazbah itu tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan.
45. Lalu mereka mendapat ilham baik untuk membongkarnya supaya mereka tidak dihina kerananya, oleh sebab mazbah itu sudah dicemarkan oleh orang asing. Maka mazbah itu dibongkar oleh mereka,
46. dan batu-batunya diletakkan di tempat yang sesuai di bukit Rumah Allah. Sementara itu mereka menunggu seorang nabi yang akan memberi keputusan tentang batu-batu itu.