34. Lalu mereka mula berperang, dan dalam pertempuran seorang lawan seorang, kira-kira 5,000 orang daripada pasukan Lisias binasa.
35. Lisias melihat pasukannya melarikan diri, sedangkan Yudas dan anak buahnya mara dengan keberanian yang berkobar-kobar dan bersedia mati sebagai kesateria. Maka Lisias berundur dan pergi ke Antiokhia. Di sana dia mengupah orang asing supaya dapat kembali ke Yudea dengan pasukan tentera yang lebih besar.
36. Yudas dan saudara-saudaranya berkata, “Musuh kita sudah ditumpaskan. Mari kita ke Yerusalem untuk membersihkan Rumah Allah dan mentahbiskannya semula.”
37. Lalu seluruh tentera pergi bersama-sama ke Bukit Sion.
38. Mereka mendapati Rumah Allah ditinggalkan kosong, mazbah tercemar, dan pintu gerbang terbakar. Halaman sudah ditumbuhi semak belukar seperti di hutan atau di gunung. Bilik-bilik para imam sudah roboh.
39. Lalu mereka mengoyak pakaian mereka kerana sedih, menangis dengan nyaring, dan menaburkan abu di atas kepala.
40. Mereka meniarap di tanah, dan ketika terdengar semboyan trompet, setiap orang berseru kepada Tuhan.
41. Kemudian Yudas menyuruh askarnya menyerang orang yang ada di dalam kubu, sementara dia membersihkan Rumah Allah.
42. Dia memilih imam-imam yang layak dan yang setia kepada Taurat.