26. Semua orang asing yang dapat menyelamatkan diri melaporkan segala kejadian itu kepada Lisias.
27. Apabila mendengar laporan itu Lisias terperanjat dan putus asa, kerana apa yang dirancangkannya terhadap Israel tidak terjadi, dan apa yang diperintahkan raja kepadanya tidak terlaksana.
28. Dalam tahun berikutnya Lisias mengerahkan 60,000 orang pasukan tentera berjalan kaki yang dipilih khas, dan 5,000 orang pasukan berkuda untuk memerangi orang Yahudi.
29. Mereka masuk ke daerah Idumea dan berkhemah dekat dengan kota Bet-Zur. Yudas mendatangi mereka dengan 10,000 orang.
30. Apabila Yudas melihat tentera musuh yang kuat itu, dia berdoa, “Terpujilah Engkau, Penyelamat Israel. Dengan tangan hamba-Mu Daud, Kaugagalkan serangan seorang yang gagah perkasa. Seluruh pasukan Filistin Kauserahkan ke tangan Yonatan anak Saul dan pembawa senjatanya.
31. Semoga dengan cara itu juga Kauserahkan pasukan tentera ini kepada tangan umat-Mu Israel. Biarlah mereka menjadi malu kerana mengharapkan tentera dan pasukan berkuda mereka.
32. Buatlah mereka ketakutan dan luluhkanlah kekuatan mereka. Biarlah mereka kalah dan gementar.
33. Hendaklah Kautumpas mereka dengan pedang orang yang mengasihi Engkau. Semoga Engkau dipuji oleh semua orang yang mengakui Engkau.”
34. Lalu mereka mula berperang, dan dalam pertempuran seorang lawan seorang, kira-kira 5,000 orang daripada pasukan Lisias binasa.
35. Lisias melihat pasukannya melarikan diri, sedangkan Yudas dan anak buahnya mara dengan keberanian yang berkobar-kobar dan bersedia mati sebagai kesateria. Maka Lisias berundur dan pergi ke Antiokhia. Di sana dia mengupah orang asing supaya dapat kembali ke Yudea dengan pasukan tentera yang lebih besar.
36. Yudas dan saudara-saudaranya berkata, “Musuh kita sudah ditumpaskan. Mari kita ke Yerusalem untuk membersihkan Rumah Allah dan mentahbiskannya semula.”
37. Lalu seluruh tentera pergi bersama-sama ke Bukit Sion.
38. Mereka mendapati Rumah Allah ditinggalkan kosong, mazbah tercemar, dan pintu gerbang terbakar. Halaman sudah ditumbuhi semak belukar seperti di hutan atau di gunung. Bilik-bilik para imam sudah roboh.
39. Lalu mereka mengoyak pakaian mereka kerana sedih, menangis dengan nyaring, dan menaburkan abu di atas kepala.
40. Mereka meniarap di tanah, dan ketika terdengar semboyan trompet, setiap orang berseru kepada Tuhan.
41. Kemudian Yudas menyuruh askarnya menyerang orang yang ada di dalam kubu, sementara dia membersihkan Rumah Allah.
42. Dia memilih imam-imam yang layak dan yang setia kepada Taurat.
43. Mereka membersihkan Rumah Allah, mengambil batu-batu yang dicemarkan dan meletaknya di tempat yang najis.