16. Apabila Yudas dan pasukannya kembali daripada pengejaran,
17-18. dia berkata kepada anak buahnya, “Jangan serakah mengambil barang jarahan. Gorgias dan pasukannya masih ada dekat pergunungan ini. Kita masih menghadapi pertempuran lain. Kita harus tetap tabah dan berjuang. Sesudah itu kamu dapat mengambil barang jarahan dengan leluasa.”
19. Sesudah Yudas selesai bercakap, sebahagian pasukan musuh muncul dari pergunungan.
20. Pasukan musuh itu melihat bahawa tentera mereka sudah lari. Daripada asap yang mengepul mereka tahu bahawa perkhemahan mereka terbakar.
21. Apabila melihat semua itu, mereka gempar. Ketika mereka melihat pasukan Yudas pula di dataran dalam keadaan siap untuk bertempur,
22. mereka semua lari ke Filistea.
23. Lalu Yudas kembali untuk menjarah perkhemahan musuh. Mereka mengambil sejumlah besar emas dan perak, kain biru dan merah ungu serta banyak harta yang lain.
24. Kemudian orang Yahudi kembali ke perkhemahan mereka dan menyanyikan lagu pujian ini, “Pujilah Tuhan kerana Dia baik. Belas kasihan-Nya kekal abadi.”
25. Pada hari itu bangsa Israel mendapat kemenangan besar.
26. Semua orang asing yang dapat menyelamatkan diri melaporkan segala kejadian itu kepada Lisias.
27. Apabila mendengar laporan itu Lisias terperanjat dan putus asa, kerana apa yang dirancangkannya terhadap Israel tidak terjadi, dan apa yang diperintahkan raja kepadanya tidak terlaksana.
28. Dalam tahun berikutnya Lisias mengerahkan 60,000 orang pasukan tentera berjalan kaki yang dipilih khas, dan 5,000 orang pasukan berkuda untuk memerangi orang Yahudi.
29. Mereka masuk ke daerah Idumea dan berkhemah dekat dengan kota Bet-Zur. Yudas mendatangi mereka dengan 10,000 orang.
30. Apabila Yudas melihat tentera musuh yang kuat itu, dia berdoa, “Terpujilah Engkau, Penyelamat Israel. Dengan tangan hamba-Mu Daud, Kaugagalkan serangan seorang yang gagah perkasa. Seluruh pasukan Filistin Kauserahkan ke tangan Yonatan anak Saul dan pembawa senjatanya.