1 Makabe 3:49-60 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

49. Mereka membawa pakaian imam, persembahan hasil tanah yang pertama, dan persembahan persepuluhan. Mereka juga membawa orang Nazir yang sudah menunaikan nazar mereka.

50. Seluruh umat dengan suara nyaring berdoa begini, “Ya Tuhan, apakah yang harus kami lakukan dengan semuanya ini? Ke manakah harus kami membawanya?

51. Rumah-Mu yang suci sudah diinjak-injak dan dicemarkan. Imam-imam-Mu berkabung dan merendahkan diri.

52. Orang asing telah bersekutu untuk menyerang dan membinasakan kami. Tuhan tahu akan rancangan mereka untuk menentang kami.

53. Jika Engkau tidak menolong kami, bagaimana kami dapat bertahan terhadap mereka?”

54. Lalu mereka meniup trompet dan berteriak dengan nyaring.

55. Sesudah itu, Yudas melantik pemimpin-pemimpin untuk mengetuai kelompok-kelompok askar yang berjumlah seribu, seratus, lima puluh, dan sepuluh orang.

56. Tetapi sesuai dengan Taurat, Yudas menyuruh pulang semua orang yang sedang membina rumah, atau menanami ladang anggur, atau baru sahaja berkahwin, serta setiap orang yang ketakutan.

57. Akhirnya pasukannya bergerak dan mengambil tempat di sebelah selatan kota Emaus.

58. Kata Yudas kepada mereka, “Bersiaplah, dan hendaklah kamu gagah berani! Esok pagi kamu harus siap bertempur menentang orang asing yang telah bersekutu untuk menyerang serta membinasakan kita dan Rumah Allah.

59. Lebih baik mati dalam pertempuran daripada menyaksikan kebinasaan bangsa kita dan kemusnahan Rumah Allah.

60. Tetapi semoga terjadi apa yang dikehendaki Tuhan.”

1 Makabe 3