11. Apabila mendengar hal itu, Yudas mara ke medan perang, lalu mengalahkan dan membunuh Apolonius. Banyak musuh binasa dan yang lainnya melarikan diri.
12. Barang-barang mereka dirampas. Pedang Apolonius diambil oleh Yudas dan digunakan seumur hidupnya.
13. Seron, panglima angkatan perang Siria, mendengar bahawa Yudas telah mengumpulkan satu pasukan besar, termasuk sekelompok orang setia yang siap bertempur di bawah pimpinannya.
14. Seron berkata, “Namaku akan termasyhur di seluruh kerajaan kalau aku memerangi Yudas dan anak buahnya yang meremehkan perintah raja.”
15. Lalu maralah Seron dibantu oleh sepasukan besar orang jahat yang ingin membalas dendam terhadap Israel.
16. Ketika dia sampai di genting Bet-Horon, Yudas dan sekelompok kecil orangnya mara menghadapinya.
17. Apabila melihat pasukan Seron datang, mereka berkata kepada Yudas, “Bagaimanakah kelompok kita yang sekecil ini dapat memerangi pasukan sebesar dan sekuat itu! Lagipun kita lelah dan belum makan sepanjang hari!”
18. Jawab Yudas, “Mudah saja kelompok yang kecil mengalahkan pasukan yang besar. Bagi Tuhan tiada bezanya menyelamatkan dengan banyak orang atau dengan sedikit saja.
19. Dalam pertempuran, kemenangan tidak tergantung kepada pasukan yang besar. Kuasa Tuhanlah yang menentukan hasilnya.
20. Kumpulan orang yang datang melawan kita itu sangat bongkak dan jahat. Mereka mahu merampas segala milik kita dan membunuh kita dan anak isteri kita.
21. Tetapi kita berjuang untuk nyawa dan agama kita.
22. Tuhan sendiri akan membinasakan musuh di depan kita. Jadi jangan takut kepada mereka!”
23. Sesudah berkata begitu, Yudas dan anak buahnya menyergap Seron serta pasukannya dan membinasakan mereka.
24. Mereka mengejar musuh di jalan yang menurun dari Bet-Horon hingga ke dataran dan membinasakan lebih kurang 800 orang, sedangkan yang lainnya melarikan diri ke Filistea.
25. Sejak itu Yudas dan saudara maranya sangat ditakuti dan disegani oleh bangsa-bangsa di sekeliling.