1 Makabe 2:52-64 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

52. Ingatlah bagaimana Abraham ternyata setia apabila diuji, sehingga Tuhan berkenan menerimanya.

53. Yusuf pun demikian ketika mengalami kesukaran mentaati perintah Allah dan kemudian menjadi penguasa di Mesir.

54. Pinehas, nenek moyang kita berkobar-kobar semangatnya bagi Tuhan, sehingga Tuhan berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi imam untuk selama-lamanya.

55. Yosua dijadikan pemimpin di Israel kerana dia taat kepada perintah Musa.

56. Kaleb memberi laporan baik kepada umat, maka dia menerima tanah sebagai milik pusaka.

57. Daud tetap setia, kerana itu Allah berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan memerintah sebagai raja turun-temurun.

58. Elia diangkat ke syurga kerana semangatnya yang besar untuk membela Taurat.

59. Anania, Azarya, dan Misael diselamatkan daripada nyala api kerana iman mereka.

60. Daniel diselamatkan dari muncung singa kerana dia tulus hati.

61. Hendaklah kamu masing-masing mencontohi nenek moyang kita, maka kamu akan melihat bahawa orang yang percaya kepada Tuhan tidak menjadi lemah.

62. Jangan takut akan ancaman orang jahat, oleh sebab kekayaan mereka akan berakhir dan mayat mereka yang membusuk menjadi makanan cacing.

63. Hari ini mereka mendapat kehormatan besar, tetapi esok mereka lenyap. Badan mereka kembali menjadi tanah dan semua rancangan mereka akan berakhir.

64. Anak-anakku, hendaklah kamu kuat dan gagah berani untuk mempertahankan Taurat, kerana hanya melalui Taurat kamu mendapat kehormatan besar.

1 Makabe 2