41. Pada hari itu mereka memutuskan untuk memberi tentangan apabila mereka diserang pada hari Sabat, supaya mereka tidak mati semua seperti saudara-saudara mereka yang habis dibunuh di tempat persembunyian mereka.
42. Kemudian Matatias dan anak buahnya disertai oleh sekelompok orang yang berbakti kepada Allah dan disebut kaum Mursyid, orang Israel yang gagah perkasa, dan sesiapa sahaja yang mahu membela Taurat.
43. Selain itu setiap orang yang melarikan diri daripada penganiayaan, ikut bergabung dengan mereka untuk memperkuat pasukan mereka.
44. Lalu Matatias membentuk sepasukan tentera dan dengan geramnya menyerang orang Yahudi yang berdosa dan melanggar Taurat. Mereka yang terlepas harus melarikan diri kepada bangsa asing supaya selamat.
45. Matatias dan kawan-kawannya pergi ke merata tempat dan merobohkan mazbah-mazbah orang asing.
46. Setiap anak lelaki yang didapati belum bersunat di wilayah Israel, mereka menyunatnya dengan paksa.
47. Mereka juga berjaya mengusir para pegawai asing yang bongkak itu.
48. Mereka menyelamatkan Taurat Musa daripada orang asing serta raja-raja mereka, dan mematahkan kekuasaan Raja Antiokhus.
49. Apabila Matatias sudah hampir meninggal, Matatias berkata kepada anak-anaknya, “Zaman ini penuh dengan pergolakan dan keganasan. Orang bongkak memegang kekuasaan dan menjadikan kita bahan tertawaan.
50. Tetapi kamu, anak-anakku, harus mentaati hukum dan bersedia mati untuk mempertahankan perjanjian Allah dengan nenek moyang kita.
51. Ingatlah apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu. Ikutilah teladan mereka, maka kamu pun akan mendapat kehormatan besar dan nama kamu diingati selama-lamanya.
52. Ingatlah bagaimana Abraham ternyata setia apabila diuji, sehingga Tuhan berkenan menerimanya.
53. Yusuf pun demikian ketika mengalami kesukaran mentaati perintah Allah dan kemudian menjadi penguasa di Mesir.
54. Pinehas, nenek moyang kita berkobar-kobar semangatnya bagi Tuhan, sehingga Tuhan berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi imam untuk selama-lamanya.
55. Yosua dijadikan pemimpin di Israel kerana dia taat kepada perintah Musa.