1 Makabe 2:18-39 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

18. Baiklah tuan menjadi orang pertama yang melakukan perintah raja. Semua bangsa lain, penduduk Yudea, serta semua orang yang masih tinggal di Yerusalem sudah melakukannya. Kalau tuan menurut, tuan dan anak-anak tuan akan diberi gelaran ‘Sahabat Raja’ dan dihormati dengan pemberian emas, perak, dan banyak hadiah yang lain.”

19. Matatias menjawabnya dengan suara kuat, “Biarlah semua bangsa dalam lingkungan kerajaan ini taat kepada raja dan meninggalkan agama nenek moyang mereka.

20. Saya, anak-anak saya, dan kaum keluarga saya tetap setia kepada perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang kami.

21. Dengan bantuan Allah, kami akan tetap berpegang pada Taurat dan perintah-perintah-Nya.

22. Kami tak mahu mentaati perintah raja dan tak mahu menyimpang sedikit pun daripada cara beribadat kami.”

23. Selepas sahaja dia selesai bercakap, seorang Yahudi dari Modein tampil ke hadapan orang ramai untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, sesuai dengan perintah raja.

24. Apabila melihat orang itu, Matatias menjadi marah sekali. Kemarahannya meluap-luap sehingga badannya gementar. Dia maju dan membunuh orang itu dekat mazbah.

25. Pegawai raja yang memaksa orang mempersembahkan korban dibunuhnya juga. Lalu dia merobohkan mazbah itu.

26. Dengan cara itu Matatias menunjukkan semangatnya yang besar untuk membela Taurat, seperti yang dilakukan Pinehas ketika membunuh Zimri anak Salom.

27. Kemudian Matatias mengelilingi kota sambil berseru, “Siapa yang setia kepada perjanjian Allah dan ingin taat kepada Taurat-Nya, ikut aku!”

28. Lalu dia dan anak-anaknya meninggalkan segala milik mereka di kota dan melarikan diri ke pergunungan.

29-30. Pada waktu itu ada banyak orang Israel lain yang ingin memelihara hubungan baik dengan Allah dan mentaati Taurat-Nya. Mereka membawa anak isteri serta ternakan mereka dan melarikan diri ke padang gurun supaya terhindar daripada penganiayaan yang dahsyat.

31. Tidak lama kemudian para pegawai raja dan pasukan di kubu di Yerusalem diberitahu bahawa sejumlah orang yang mengingkari perintah raja telah lari untuk bersembunyi di padang gurun.

32. Lalu satu pasukan besar mengejar dan menjumpai mereka. Mereka berkhemah berhadapan dengan semua orang Yahudi itu dan bersiap-siap untuk menyerang mereka pada hari Sabat.

33. Mereka berteriak kepada orang Yahudi, “Cukuplah sekarang! Keluar! Taatilah perintah raja supaya kamu selamat!”

34. “Tidak!” sahut mereka. “Kami tak mahu keluar untuk mentaati perintah raja. Kami tak mahu melanggar peraturan hari Sabat!”

35. Segera para askar mula menyerang mereka,

36. tetapi orang Yahudi tidak menentang mereka sedikit pun. Mereka tidak melempar lawan mereka dengan batu atau merintang jalan ke tempat-tempat persembunyian mereka.

37. Kata mereka, “Kami semua akan mati dengan hati bersih. Biar langit dan bumi menjadi saksi bahawa kamu membunuh kami dengan tidak adil.”

38. Lalu mereka diserang musuh pada hari Sabat. Lebih kurang seribu orang mati, termasuk lelaki, wanita dan anak-anak berserta ternakan mereka.

39. Apabila mendengar berita itu, Matatias dan kawan-kawannya berasa sangat sedih

1 Makabe 2