1 Makabe 16:12-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. kerana dia menantu Simon.

13. Tetapi dia menjadi sombong dan ingin menguasai seluruh negeri. Oleh itu dia memikirkan sebuah rancangan yang licik untuk membunuh Simon dan anak-anaknya.

14. Suatu ketika Simon bersama dengan kedua-dua orang anaknya, Matatias dan Yudas sedang berkunjung ke kota-kota di wilayahnya untuk memperhatikan keperluan kota-kota itu. Dalam bulan Syebat, iaitu bulan kesebelas tahun 177, mereka tiba di kota Yerikho.

15. Dengan liciknya Ptolemeus menerima mereka di kubu kecil bernama Dok yang telah dibinanya sendiri. Ptolemeus mengadakan pesta besar untuk mereka, tetapi diam-diam disembunyikannya beberapa orang askar di situ.

16. Ketika Simon dan kedua-dua orang anaknya mabuk, Ptolemeus dan anak buahnya bangun, mengambil senjata mereka dan menyerang Simon di ruang perjamuan. Mereka membunuh Simon, kedua-dua orang anaknya dan beberapa orang pengiring.

17. Demikianlah Ptolemeus melakukan pengkhianatan besar dan membalas kebaikan dengan kejahatan.

18. Sesudah itu Ptolemeus menulis laporan tentang apa yang telah dilakukannya dan mengirimkannya kepada raja. Dia minta supaya raja mengirim pasukan untuk membantunya dan supaya negeri itu berserta kota-kotanya diserahkan kepadanya.

19. Dia juga menulis kepada para pemimpin pasukan supaya mereka berpihak kepadanya dengan janji akan menghadiahkan emas dan perak serta hadiah-hadiah lain kepada mereka.

20. Lalu diutusnya beberapa orang ke Gezer untuk membunuh Yohanes. Dikirimnya juga beberapa orang lain untuk merebut Yerusalem dan Bukit Rumah Allah.

21. Tetapi seorang lari terlebih dahulu ke Gezer dan mengkhabarkan kepada Yohanes bahawa bapa dan saudara-saudaranya sudah mati dibunuh, dan bahawa Ptolemeus mengirim orang untuk membunuhnya juga.

22. Yohanes sangat terkejut mendengar khabar itu. Tetapi kerana sudah diberitahukan terlebih dahulu, dia dapat menangkap dan menumpaskan kumpulan orang yang dikirim untuk membunuhnya.

23. Selebihnya daripada kisah Yohanes, peperangannya, kepahlawanannya, bagaimana dia membina tembok-tembok kota semula dan tentang jasa-jasanya yang lain,

24. semua itu tercatat dalam riwayat pemerintahannya sebagai Imam Agung sesudah bapanya.

1 Makabe 16