1. Yohanes anak Simon meninggalkan kota Gezer untuk melaporkan kepada bapanya apa yang dilakukan Kendebeus.
2. Maka Simon berkata kepada Yohanes dan Yudas kedua-dua orang anaknya yang sulung, “Seluruh keluarga ayahku, saudara-saudaraku dan aku sendiri seumur hidup berjuang untuk Israel. Berkali-kali kami berjaya membebaskan Israel.
3. Sekarang aku sudah tua. Tetapi berkat rahmat Allah, kamu sekarang sudah cukup besar. Kamu harus menggantikan aku dan adikku untuk berjuang bagi bangsa kita. Semoga Allah sendiri menolong kamu.”
4. Kemudian Yohanes memilih 20,000 orang askar dan pasukan berkuda dari negeri itu, dan mereka mara melawan Kendebeus. Mereka bermalam di Modein.
5. Esoknya pagi-pagi lagi mereka berangkat ke dataran. Di situ mereka didatangi oleh sejumlah besar pasukan berkuda dan pasukan tentera berjalan kaki, tetapi di antara kedua-dua pasukan itu ada sebatang sungai.
6. Yohanes dan pasukannya berkhemah berhadapan dengan pasukan musuh. Apabila Yohanes melihat askar-askarnya takut menyeberang sungai, dia sendiri menyeberangnya terlebih dahulu. Apabila melihat hal itu anak buahnya menyusul.
7. Lalu Yohanes membahagi tenteranya. Dia menempatkan pasukan berkuda di tengah-tengah pasukan tentera berjalan kaki, kerana pasukan berkuda musuh sangat besar jumlahnya.
8. Trompet tanda menyerang dibunyikan. Kendebeus dan tenteranya mengalah dan banyak antara mereka cedera. Tentera yang lain lari ke kubu mereka di Kidron.
9. Yudas adik Yohanes terluka dalam pertempuran itu, tetapi Yohanes terus mengejar musuh sehingga ke kota Kidron yang sudah dibina semula oleh Kendebeus.