21. Oleh itu kalau ada pengkhianat yang melarikan diri dari negeri Yudea dan minta perlindungan di negeri tuan, serahkanlah mereka kepada Imam Agung Simon supaya dihukum menurut undang-undang mereka.”
22. Lukius menulis surat yang sama kepada Raja Demetrius, Atalus, Ariarates dan Arsakes,
23. dan juga kepada semua negeri ini: Sampsames, Sparta, Delos, Mindos, Sikion, Karia, Samos, Pamfilia, Likia, Halikarnasus, Rodes, Faselis, Kos, Side, Aradus, Gortina, Knidus, Siprus dan Kirene.
24. Salinan surat-surat itu juga dikirim kepada Imam Agung Simon.
25. Raja Antiokhus berkhemah di pinggir kota Dor. Baginda menyuruh pasukannya terus-menerus menyerang kota itu dengan alat-alat penggempur buatannya sendiri. Trifon terkepung sehingga tidak dapat keluar masuk.
26. Simon mengirim 2,000 orang askar terpilih untuk membantu Raja Antiokhus. Dikirimnya juga emas dan perak dan sejumlah besar perlengkapan.
27. Tetapi Raja Antiokhus tidak mahu menerimanya. Semua perjanjian dengan Simon dibatalkannya dan baginda berbalik menjadi musuhnya.
28. Lalu Raja Antiokhus mengutus Atenobius, salah seorang sahabatnya, untuk berunding dengan Simon dan menyampaikan pesan ini: “Tuan menduduki kota Yope, Gezer dan kubu di Yerusalem, padahal kota-kota itu termasuk kerajaan kami.
29. Tuan telah merosak wilayah-wilayah itu dan mendatangkan bencana terhadap negeri. Tuan merebut kekuasaan di banyak tempat di kerajaan kami.
30. Sekarang kota-kota yang sudah tuan rebut harus tuan kembalikan, juga wang cukai yang tuan pungut dari tempat-tempat yang tuan duduki di luar wilayah Yudea.
31. Kalau tidak, tuan harus membayar 17,000 kilogram perak kepada kami, ditambah 17,000 kilogram perak lagi untuk mengganti cukai kota-kota itu dan kerosakan yang telah tuan datangkan. Kalau tuan menolak, kami akan datang memerangi tuan.”
32. Ketika Atenobius tiba di Yerusalem, dilihatnya segala kemewahan di istana Simon, dewan santapan dengan perkakas makan yang dibuat daripada emas dan perak dan banyak barang lain. Maka tercenganglah dia. Lalu disampaikannya pesan raja kepada Simon.
33. Simon menjawab, “Bukan tanah bangsa lain yang kami rebut, dan bukan milik orang lain yang kami ambil. Kami hanya mengambil tanah pusaka nenek moyang kami kembali, yang untuk sementara waktu secara tak adil dikuasai oleh musuh-musuh kami.
34. Kami menggunakan kesempatan ini hanya untuk mengambil milik pusaka nenek moyang kami kembali.
35. Tentang kota Yope dan Gezer yang tuan tuntut itu, kami bersedia membayar 3,000 kilogram perak, walaupun penduduk kota-kota itu sudah sangat merugikan negeri dan bangsa kami.”Atenobius tidak menjawab.
36. Dengan panas hati dia kembali kepada raja. Dia menyampaikan jawapan Simon dan juga menceritakan segala kemewahan di istana Simon serta segala sesuatu yang telah dilihatnya. Apabila mendengar hal itu, raja menjadi murka sekali.
37. Sementara itu Trifon naik kapal dan melarikan diri ke Ortosia.
38. Lalu Raja Antiokhus melantik Kendebeus menjadi Panglima Besar daerah pantai dan memberi dia pasukan tentera berjalan kaki dan pasukan berkuda.
39. Kendebeus diperintahkan untuk berkhemah di perbatasan Yudea dan membina kota Kidron semula, serta memperkuat pintu-pintu gerbangnya supaya raja dapat memerangi bangsa Yahudi. Sementara itu raja sendiri terus mengejar Trifon.
40. Kendebeus menuju ke kota Yamnia dan mula mengganggu orang Yahudi dengan memasuki wilayah Yudea, menangkap penduduknya serta membunuh mereka.