19. Kami berkenan menulis kepada semua raja dan negeri supaya tidak mengganggu atau memerangi orang Yahudi, kota-kota dan negeri mereka, atau bersekutu dengan orang yang memerangi mereka.
20. Kami telah memutuskan untuk menerima perisai itu.
21. Oleh itu kalau ada pengkhianat yang melarikan diri dari negeri Yudea dan minta perlindungan di negeri tuan, serahkanlah mereka kepada Imam Agung Simon supaya dihukum menurut undang-undang mereka.”
22. Lukius menulis surat yang sama kepada Raja Demetrius, Atalus, Ariarates dan Arsakes,
23. dan juga kepada semua negeri ini: Sampsames, Sparta, Delos, Mindos, Sikion, Karia, Samos, Pamfilia, Likia, Halikarnasus, Rodes, Faselis, Kos, Side, Aradus, Gortina, Knidus, Siprus dan Kirene.
24. Salinan surat-surat itu juga dikirim kepada Imam Agung Simon.
25. Raja Antiokhus berkhemah di pinggir kota Dor. Baginda menyuruh pasukannya terus-menerus menyerang kota itu dengan alat-alat penggempur buatannya sendiri. Trifon terkepung sehingga tidak dapat keluar masuk.
26. Simon mengirim 2,000 orang askar terpilih untuk membantu Raja Antiokhus. Dikirimnya juga emas dan perak dan sejumlah besar perlengkapan.
27. Tetapi Raja Antiokhus tidak mahu menerimanya. Semua perjanjian dengan Simon dibatalkannya dan baginda berbalik menjadi musuhnya.
28. Lalu Raja Antiokhus mengutus Atenobius, salah seorang sahabatnya, untuk berunding dengan Simon dan menyampaikan pesan ini: “Tuan menduduki kota Yope, Gezer dan kubu di Yerusalem, padahal kota-kota itu termasuk kerajaan kami.
29. Tuan telah merosak wilayah-wilayah itu dan mendatangkan bencana terhadap negeri. Tuan merebut kekuasaan di banyak tempat di kerajaan kami.
30. Sekarang kota-kota yang sudah tuan rebut harus tuan kembalikan, juga wang cukai yang tuan pungut dari tempat-tempat yang tuan duduki di luar wilayah Yudea.
31. Kalau tidak, tuan harus membayar 17,000 kilogram perak kepada kami, ditambah 17,000 kilogram perak lagi untuk mengganti cukai kota-kota itu dan kerosakan yang telah tuan datangkan. Kalau tuan menolak, kami akan datang memerangi tuan.”